Turki mahu jadi kuasa dron canggih dunia

Sebuah dron keluaran syarikat Baykar iaitu Bayraktar TB2 berada di sebuah pangkalan tentera dekat Gazimagusa, Republik Turki Cyprus Utara pada tahun 2019. - Foto AFP
Sebuah dron keluaran syarikat Baykar iaitu Bayraktar TB2 berada di sebuah pangkalan tentera dekat Gazimagusa, Republik Turki Cyprus Utara pada tahun 2019. - Foto AFP
A
A
A

SAMA ada di Syria, Libya atau Azerbaijan, dron-dron tempur Turki yang dikeluarkan oleh negara itu telah mencatatkan kejayaan apabila Ankara mengharapkan ia akan dieksport lebih banyak ke luar negara.

Walaupun negara itu terbukti berjaya menumpaskan musuh-musuh yang menggunakan kereta kebal, beberapa penganalisis percaya Turki menawarkan peluang untuk melebarkan pengaruhnya menerusi dasar-dasar luar negara tersebut.

Sebelum ini dron-dron bersenjata digunakan tentera Turki dalam pertempuran di Syria bagi membalas dendam ekoran kematian askar-askarnya selain menghalang kemaraan tentera rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad di wilayah Idlib, barat laut Syria.

Di Libya pula, pesawat-pesawat tanpa juruterbang terbang dengan bantuan sekutu-sekutu Turki di Tripoli 'memburu' tentera rejim komander Khalifa Haftar yang menentang kerajaan negara tersebut yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada tahun lalu juga, dron-dron Turki membantu negara Azerbaijan mengambil semula sejumlah wilayah daripada kumpulan pemisah di Armenia dalam konflik Nagorno-Karabakh.

Semua kejayaan itu kemudian mendapat perhatian banyak negara yang mahu menjaga keselamatan masing-masing ketika Turki cuba untuk menjadi pengeksport terbesar peralatan ketenteraan termasuk dron-dron tentera.

Dron-dron tempur pertama kali digunakan oleh Turki ialah pada tahun 2016 ketika pihak tentera bertempur dengan para militan Kurdis di tenggara negara berkenaan.

Justeru, pada Disember tahun yang sama, Industri Aeroangkasa Turki (TAI) menandatangani perjanjian dengan Tunisia bagi menghantar tiga dron dan sistem kawalan darat serta melatih 52 juruterbang.

Artikel Berkaitan:

Perjanjian itu dianggarkan bernilai AS$80 juta (RM332.86 juta).

Beberapa pekerja memeriksa dron Anka keluaran Industri Aeroangkasa Turki di Ankara pada 5 Mac lalu. - Foto AFP
Beberapa pekerja memeriksa dron Anka keluaran Industri Aeroangkasa Turki di Ankara pada 5 Mac lalu. - Foto AFP

Dron jenis Anka itu dibangunkan oleh kumpulan jurutera TAI di Turki dan ia membuat penerbangan sulung pada 30 Disember 2010 manakala perjanjian untuk mengeluarkan secara besar-besaran pesawat tanpa juruterbang tersebut ditandatangani pada Oktober 2013.

Ketua Industri Pertahanan Turki Kepresidenan (SSB), pernah memberitahu AFP bahawa dron-dron Turki berbaloi untuk dibeli kerana jika ada negara lain mempunyai sistem pesawat tanpa juruterbang tersebut yang sama dengan Turki, harga jualannya akan menjadi dua kali ganda.

SSB merupakan sebuah organisasi yang memantau syarikat-syarikat pertahanan negara termasuk TAI yang membina dron Anka.

Dron Anka itu sepanjang 8.6 meter dan mempunyai sayap sepanjang 17.6 meter dan dikeluarkan di sebuah kilang yang kawalan keselamatan terlalu ketat di Ankara yang seluas empat juta persegi.

Firma TAI menggaji hampir 10,000 orang termasuk 3,000 jurutera untuk membina dron tersebut.

Menurut Naib Presiden Komunikasi dan Pemasaran TAI, Serdar Demir kepada AFP, kebanyakan komponen penting dron itu dihasilkan dan direka di Turki.

Namun, sebuah syarikat swasta, Baykar yang diuruskan oleh seorang menantu lelaki Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah pun mengeksport dron Bayraktar TB2 ke Ukraine, Qatar dan Azerbaijan.

Pada 24 Mei lalu, Poland juga dilaporkan mahu menjadi pelanggan Turki apabila mengumumkan akan membeli 24 dron Bayraktar TB2.

Pakistan juga dilaporkan berminat untuk membeli dron-dron buatan Turki untuk kegunaan dalam negara tersebut.

Baykar dan TAI merupakan antara syarikat perintis kepada industri pertahanan tempatan apabila kedua-duanya melabur dalam jumlah besar dalam pembuatan dron yang pernah digunakan untuk menentang pertubuhan pengganas seperti Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di Turki.

Dron tempur Bayraktar TB2 yang dibina oleh firma Baykar pada asalnya digunakan dalam operasi menentang pengganas PKK tetapi ia menjadi popular selepas terlibat menentang rejim Syria yang disokong oleh Rusia.

Dalam pada itu, syarikat Baykar dilaporkan sedang membina dron Akinci yang mempunyai sistem canggih dengan dua enjin turbin dan mampu membawa bebanan seberat 1.5 tan dan dilengkapi dengan senjata pintar.

Seorang pakar dalam penerbangan, angkasa lepas, dasar-dasar pertahanan dan teknologi, Arda Mevlutoglu pernah memberitahu portal berita Daily Sabah baru-baru ini bahawa beliau berharap Tentera Udara Turki akan mengeksploitasi sepenuhnya penggunaan pesawat tanpa juruterbang dan sistem senjata panduan tepat.

Katanya, negara itu juga diharapkan akan dapat mengurangkan jurang dengan negara-negara jirannya dari segi penggunaan secara efektif perang elektronik, sistem senjata panduan tepat dan dron canggih keluaran industri tempatan. - Agensi