'Beri vaksin di kilang, bukan di pusat beli-belah'

Rafidah
Rafidah
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan kepada kerajaan untuk membuat program suntikan vaksin Covid-19 di kilang atau sektor industri.

Ini kerana, katanya, sektor tersebut dilihat telah menyumbang lebih daripada 40 peratus kes harian Covid-19.

“Saya dah cadangkan, adakan klinik vaksin secara ‘mobile’, ataupun van. Adakan di kilang-kilang, bukan di pusat beli-belah. Adakan proses vaksinasi terhadap sektor ini kerana ia satu keperluan.

“Kalau ini selesai, maknanya legalah masalah Covid-19 dalam kalangan industri ini. Ia bukan melibatkan industri yang besar sahaja, termasuk yang kecil. Kena serentak. Jangan ada fasa.

“Kalau ikut tumpuan fasa, fasa terakhir akan tercicir dan perkara ini yang menyebabkan kes kita semakin meningkat. Perlu bertindak segera. Utamakan prioriti, kerajaan kena komited,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Reset Malaysia: Permasalahan dan Solusi yang disiarkan secara langsung di Facebook Reset Malaysia pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Profesor Perubatan Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman manakala Dr Abu Hafiz Salleh Hudin selaku moderator.

Abu Hafiz (kiri) bersama Dr Mahathir (kanan, atas), Adeeba (kanan, tengah) dan Rafidah pada program Reset Malaysia: Permasalahan dan Solusi yang disiarkan secara langsung di Facebook Reset Malaysia pada Rabu.
Abu Hafiz (kiri) bersama Dr Mahathir (kanan, atas), Adeeba (kanan, tengah) dan Rafidah pada program Reset Malaysia: Permasalahan dan Solusi yang disiarkan secara langsung di Facebook Reset Malaysia pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, menurut Rafidah, kerajaan digesa untuk tidak hanya menangani masalah Covid-19 semata-mata, namun perlu melihat kepada kesan sampingan yang dihadapi rakyat.

Jelasnya, terdapat pelbagai kesan dari segi sosial, pendidikan, keluarga dan ekonomi yang masih belum lagi ditangani oleh kerajaan.

“Pihak berkuasa gagal tangani Covid-19 dan masalah sampingan daripadanya. Jangan hanya tangani tanpa lihat apa kesan sampingan yang sama serius dengan wabak ini.

“Saya risau kalau kesan sampingan tidak ditangani dengan cara yang baik, lebih banyak masalah dan akan menyebabkan desakan reset Malaysia ini berlaku,” ujarnya.

Oleh itu, Rafidah mencadangkan beberapa solusi dalam memastikan negara ini berjaya melawan pandemik Covid-19.

Menurutnya, antara solusi adalah menjadikan masalah pandemik ini sebagai isu nasional dan tidak menyalahkan kerajaan atau kakitangan hospital semata-mata.

“Kita hendaklah merasakan bahawa pandemik ini isu nasional. Bukan isu kerajaan, isu doktor dan sebagainya. Tetapi ia isu semua. Maknanya solusinya juga daripada kita semua.

“Selain itu, kita tidak boleh berpolitik dengan perkara ini. Kita keluarkan politik. Baru kita dapat objektif. Baru dapat lihat tindakan mana yang wajar dilakukan.

“Begitu juga rakyat, jangan bantu virus ini merebak. Jaga prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya.