Meninggal di penjara, keluarga terima ganti rugi lebih RM300,000

Mahkamah Rayuan pada Rabu membenarkan rayuan keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia di Penjara Tapah pada 2014 untuk mendapatkan ganti rugi atas kecuaian dan tuntutan tanggungan lebih RM300,000.
Mahkamah Rayuan pada Rabu membenarkan rayuan keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia di Penjara Tapah pada 2014 untuk mendapatkan ganti rugi atas kecuaian dan tuntutan tanggungan lebih RM300,000.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu membenarkan rayuan keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia di Penjara Tapah pada 2014 untuk mendapatkan ganti rugi atas kecuaian dan tuntutan tanggungan lebih RM300,000.

Tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Yaacob Md Sam bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M Gunalan membuat keputusan sebulat suara berhubung rayuan keluarga tahanan itu, Kamarulnizam Ismail untuk mendapatkan ganti rugi tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan pihak berkuasa (responden) membayar kos RM5,000 kepada keluarga Kamarulnizam.

Keputusan berkenaan dibuat semasa prosiding yang berlangsung melalui aplikasi Zoom pada Rabu, bagi keputusan taksiran ganti rugi, yang dikemukakan oleh keluarga Allahyarham.

Dalam prosiding itu, peguam M Visvanathan mewakili Rahaya Salleh, ibu Kamarulnizam Ismail, manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, Andi Razali Jaya A Dadi dan Mohd Ashraf Abd Hamid hadir bagi pihak polis, pegawai penjara serta kerajaan.

Visvanathan ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu dan memaklumkan mahkamah memberikan ganti rugi kecuaian sebanyak RM250,000 dan RM40,800 bagi tuntutan tanggungan.

Pada 24 Jun lalu, mahkamah sama membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan RM100,000 kepada Rahaya sebagai ganti rugi bagi penahanan tidak sah dan RM50,000 bagi misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Pada Ogos 2019, Pesuruhjaya Kehakiman Anslem Charles Fernandis (kini Hakim Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa defendan bertanggungjawab atas kecuaian dan memberikan ganti rugi sebanyak RM100,000 atas penahanan tidak sah serta RM50,000 bagi salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Mahkamah Majistret di Pulau Pinang menjatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara 14 hari ke atas Kamarulnizam selepas dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1957 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Dilaporkan bahawa Kamarulnizam, yang bekerja di sebuah kilang gula di Pulau Pinang, memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana memerlukan wang itu untuk memperbaiki kereta meskipun bapanya datang ke mahkamah untuk membayar denda.

Rahaya, 71, memfailkan saman terhadap responden pada 3 Mac 2017 dan menuntut ganti rugi bagi tuntutan tanggungan, misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam serta ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tahanan mati dalam penjara berhak dapat ganti rugi