Polis sedang lengkapkan siasatan Fahmi Reza

Fahmi Reza
Fahmi Reza
A
A
A

MUALLIM - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kontroversi poster ‘sardin dan ayam’ yang dikaitkan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad membabitkan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan lelaki berusia 44 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

"Pegawai Penyiasat ke Kuala Lumpur untuk merakam percakapan Fahmi Reza dengan kehadiran peguam.

"Kita akan merujuk kertas siasatan ini kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya," katanya dalam sidang akhbar Op Patuh Team Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di IPD Muallim di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman.

Pada 17 Jun lalu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar berhubung poster berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak.

Katanya, poster sindiran itu menjadi tular sehingga Saarani menerima kecaman pengguna media sosial yang mendakwa pemimpin berkenaan bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar miskin di Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Poster kontroversi: Polis akan panggil Fahmi Reza

Artikel Berkaitan:

Polis tunggu arahan lanjut siasat Fahmi Reza