X

Kindly register in order to view this article
!

Tebang semua pokok durian haram tindakan betul

Muhammad Faiz Hashim
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bertindak betul dalam menebang semua pokok durian yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Kekal (TSK) Batu Talam, Raub, bermula Ahad lalu.

Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim berkata, soal pokok itu sedang berbuah dan dianggap satu kerugian besar oleh sesetengah pihak disifatkan ia bukan isu besar.

"Isunya adalah tanah itu diteroka secara haram dan pokok durian berkenaan ditanam secara haram.

"Apabila haram, tindakan yang betul diambil oleh kerajaan ialah menebang pokok itu supaya tanah berkenaan kekal sebagai hutan simpan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Ahad, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menebang pokok durian Musang King yang lebat berbuah di kawasan seluas 101 hektar dekat Hutan Simpan Batu Talam dipersoalkan oleh netizan kerana pokok durian sedang berbuah lebat itu ditebang begitu sahaja.

Kerja-kerja penebangan itu dilakukan dalam operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam, Raub sehingga menyebabkan penahanan 18 pekebun haram durian Musang King di kawasan itu kerana melakukan provokasi.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun direman dan pada Selasa mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, penceroboh dan penerokaan tanah haram itu sudah berlaku lebih 20 tahun dan pekebun haram mengaut keuntungan daripada hasil tanaman itu.

Jelasnya, justeru, mereka tidak boleh mempertikaikan tindakan kerajaan Pahang yang memusnahkan kebun mereka kerana lokasi penanaman pokok durian itu di kawasan HSK.

"Mereka dakwa rugi lebih RM3 juta sebab pokok ditebang, tapi sudah 20 tahun mereka mengaut untung berlipat ganda daripada hasil penjualan durian. Mereka sudah kaya raya sebelum ini sehingga perkara ini terjadi (operasi penguatkuasaan) pada Sabtu.

"Apabila ada operasi ini, semua rakyat menyambut baik dan menyifatkan ia langkah tepat dalam membanteras isu penerokaan tanah haram," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!