Ahli baharu PPK boleh mohon SBMT

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli baharu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berhasrat untuk memohon pinjaman Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) daripada kerajaan boleh berbuat demikian tanpa syarat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia susulan maklum balas yang diterimanya bahawa hanya selepas tempoh 6 bulan menjadi ahli PPK, barulah mereka boleh memohon.

Menurutnya, setelah mendapatkan maklum balas dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang bertindak sebagai urus setia SBMT, ia hanyalah sekadar salah faham.

“Sebenarnya syarat selepas daftar 6 bulan sebagai ahli baharu boleh buat pinjaman itu merujuk kepada pinjaman biasa dengan dana dari LPP.

“Skim Bantuan Modal Tani ini merupakan pinjaman dengan dana dari kerajaan negeri yang dikecualikan daripada syarat ini. Selepas daftar dan disahkan menjadi ahli PPK, mereka boleh terus isi borang untuk mohon,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesungguhan LPP yang bekerja keras dalam menjayakan Program Jelajah Penerangan dan Dialog SBMT ke seluruh negeri.

Terengganu memperuntukkan sejumlah RM5 juta sebagai kemudahan pinjaman SBMT patuh syariah tanpa faedah kepada mereka yang menceburi sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.

Skim bantuan itu adalah dalam bentuk barangan, perkakas, enjin, anak benih, peralatan dan bantuan kewangan dan akan diuruskan LPP Terengganu sebagai urus setia.

Artikel Berkaitan:

Setiap individu layak membuat permohonan SBMT tidak melebihi RM50,000 atau nilaian kelulusannya bergantung kepada jenis sektor yang diceburi dan tempoh bayaran pinjaman bergantung kepada jenis perusahaan.