Tutup operasi kilang sarung tangan jejas pendapatan seberang laut

Top Glove, Hartalega dan Kossan telah menggantung operasi kilang masing-masing di Selangor pada Selasa susulan penguatkuasaan PKPD.
Top Glove, Hartalega dan Kossan telah menggantung operasi kilang masing-masing di Selangor pada Selasa susulan penguatkuasaan PKPD.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penutupan sementara kilang-kilang sarung tangan bukan hanya akan mempengaruhi pendapatan syarikat tetapi juga boleh menjejaskan hubungan mereka dengan pembeli luar negara terutama ketika pengeluar sarung tangan Malaysia pada masa ini berhadapan persaingan yang semakin sengit daripada pembuat sarung tangan China.

Dalam satu nota penyelidikan pada Rabu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, Top Glove, Hartalega dan Kossan telah menggantung operasi kilang pengeluaran sarung tangan masing-masing di Selangor pada Selasa susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bank pelaburan itu menambah, ia agak terkejut dengan perkembangan terbaharu itu memandangkan sarung tangan adalah antara peralatan perlindungan diri (PPE) yang penting dan kilang-kilang berkaitannya dibenarkan beroperasi sejak PKP pertama.

"Dengan mengandaikan penutupan selama dua minggu kilang-kilang sarung tangan di Selangor di bawah PKPD, kami menjangkakan unjuran kami untuk untung bersih teras tahun kewangan 2021 akan susut, masing-masing 7.4 peratus dan 16 peratus untuk Top Glove dan Kossan," kata bank pelaburan itu.

Maybank IB mengunjurkan keuntungan bersih Hartalega boleh menyusut 16 peratus pada tahun kewangan 2022 kerana penutupan penuh itu.

Ia menambah penggantungan kilang-kilang sarung tangan di Selangor dijangka menjejaskan sekitar 55 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluaran Top Glove dan 100 peratus bagi Hartalega dan Kossan.

Bank pelaburan itu turut menyatakan walaupun kesan terhadap pendapatan syarikat sarung tangan masih dapat diuruskan dan bersifat sementara, sentimen pelabur terhadap kaunter sarung tangan akan semakin terhakis oleh perkembangan terbaru ini.

Prospek sektor itu kini dibayangi oleh berita negatif yang sedang berlangsung seperti penurunan harga jualan purata (ASP) berikutan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan pemain sarung tangan baharu dan sedia ada selain daripada risiko persekitaran, sosial, dan tadbir urus (ESG).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam nota berasingan, AmInvestment Bank menyatakan penutupan kilang-kilang ini boleh memperlambat penurunan ASP sarung tangan kerana bekalan adalah terhad untuk sementara waktu.

"Kami percaya PKPD ini akan dilaksanakan sekurang-kurangnya satu bulan, sebelum kembali kepada keadaan PKP.

"Kami tidak menolak kemungkinan syarikat-syarikat ini akan diberikan kelulusan untuk menyambung kembali operasi memandangkan kepentingan sarung tangan dalam membendung penularan Covid-19," tambahnya. - Bernama