UMNO tidak dilantik TPM modal Zahid ajak keluar PN: Nazri Aziz

Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa menggunakan alasan kegagalan UMNO dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagai asas parti itu mahu menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa beliau dimaklumkan beberapa ahli Parlimen UMNO lain bahawa Ahmad Zahid ada cuba memanggil seorang demi seorang daripada mereka, bertujuan untuk menjanjikan 'sesuatu' sekiranya mereka bersetuju keluar daripada kerajaan PN.

Mohamed Nazri turut dimaklumkan, dalam pertemuan ahli-ahli Parlimen UMNO bersama Ahmad Zahid di Wisma Perwira, Kuala Lumpur Isnin malam, majoriti daripada 38 ahli Parlimen UMNO menyatakan pendirian untuk tidak menyokong hasrat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

"Saya difahamkan hanya dua, tiga ahli Parlimen UMNO sahaja yang hadir dalam pertemuan dengan Ahmad Zahid malam tadi (Isnin) dan menyatakan persetujuan untuk putus hubungan dengan kerajaan PN segera iaitu Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Zahid sendiri.

"Sekurang-kurangnya 32 ahli Parlimen lagi tidak bersetuju kerana Zahid masih memberikan alasan tidak munasabah seperti kekecewaan jawatan TPM tidak diberikan kepada UMNO sebagai modal untuk keluar kerajaan PN.

"Tiga orang menteri UMNO difahamkan tidak hadir malam semalam (Isnin), Ahli Parlimen Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Rahim) pula berada di Palestin manakala saya masih di Paris," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan kali kedua ahli-ahli Parlimen UMNO dalam tempoh tiga hari di Wisma Perwira, Pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Isnin malam bagi membincangkan keputusan parti yang dijangka bakal memuktamadkan ketetapan menarik sokongan daripada kerajaan PN dalam masa terdekat.

Menariknya, pertemuan ahli-ahli Parlimen yang diketuai Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut dihadiri Ahmad Zahid yang dijemput, sambil diiringi Najib dan Ahmad Maslan.

Artikel Berkaitan:

Sumber memaklumkan kumpulan ahli Parlimen UMNO yang hadir cuba memujuk Ahmad Zahid agar tidak memuktamadkan keputusan parti menarik sokongan daripada kerajaan PN dalam masa terdekat.

Hubungan ahli-ahli Parlimen UMNO dengan Presiden parti itu didakwa semakin tegang dipercayai susulan perbezaan pendapat mengenai sama ada mahu menyokong kerajaan PN atau membentuk jajaran baharu dengan Anwar.
Hubungan ahli-ahli Parlimen UMNO dengan Presiden parti itu didakwa semakin tegang dipercayai susulan perbezaan pendapat mengenai sama ada mahu menyokong kerajaan PN atau membentuk jajaran baharu dengan Anwar.

Jelas sumber terdekat parti itu, Ismail Sabri turut menjelaskan sebarang tindakan UMNO keluar daripada kerajaan PN pada saat krisis pandemik Covid-19 ketika ini bakal mengundang kemarahan rakyat dan menjejaskan peluang parti itu untuk menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Mohamed Nazri turut mendedahkan angka ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai 'jurucakap' mereka kini meningkat daripada 25 kepada 32 orang.

Jelas beliau, kesemua ahli Parlimen berkenaan komited untuk terus menyokong kerajaan PN sebagaimana ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu dan berjanji akan menolak sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tidak kira undi Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 atau apa pun, kita akan sokong kerajaan...32 ahli Parlimen UMNO dan BN ini akan komited menolak sebarang usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan dalam persidangan Parlimen kelak," katanya.

Mohamed Nazri turut memberi jaminan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris akan memberikan sokongan untuk menolak sebarang keputusan keluar kerajaan PN daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam masa terdekat.

Jaminan Mohamed Nazri itu agak mengejutkan susulan Ahmad Nazlan baru-baru ini mengakui beliau menandatangani surat akuan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri serta akuan bersumpah (SD) menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri interim.

"Dia dipaksa tandatangan (surat sokongan kepada Anwar). Tetapi, dia akan tetap bersama kumpulan 32 ahli Parlimen melantik Hishammuddin sebagai jurucakap kami.

"Saya akan pulang segera dari Paris pada 11 Julai ini bagi menghadiri sidang Parlimen khas. Saya yakin kerajaan akan berjalan seperti biasa selepas persidangan Parlimen kerana ahli-ahli Parlimen UMNO akan patuh kepada keputusan PAU 2020 iaitu menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen," katanya.