Kedah optimis beralih ke fasa dua PPN minggu depan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah optimis negeri itu akan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal minggu depan selepas semua nilai ambang bagi peralihan fasa tersebut dipenuhi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata ketika ini, Kedah telah pun mencapai nilai ambang bagi dua daripada tiga indikator utama iaitu liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus dan kadar purata jumlah kes Covid-19 harian.

“Bagi indikator ketiga iaitu kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU), ketika ini di Kedah belum mencapai nilai ambang yang diperlukan untuk beralih daripada fasa satu ke fasa dua PPN.

“Ketika ini, kadar penggunaan katil berada pada paras terhad dan untuk peralihan fasa, penggunaan katil perlu menurun kepada tahap sederhana dengan peratusan penggunaan antara 60 hingga 80 peratus,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Beliau diminta mengulas jangkaan kerajaan negeri untuk beralih ke Fasa Dua PPN dan usaha yang dilakukan bagi mencapainya susulan kejayaan negeri jiran iaitu Perlis dan Pulau Pinang yang telah pun beralih ke fasa itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedah bakal beralih ke fasa kedua PPN

Katanya, nilai ambang bagi indikator kadar penggunaan katil itu mampu dicapai susulan langkah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di daerah Kuala Muda yang akan mengawal penularan kes sekali gus mengurangkan kadar penggunaan katil.

Muhammad Sanusi berkata, usaha pemberian vaksin kepada rakyat Kedah juga akan dipertingkat termasuk menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang menumpukan kepada pekerja industri di Kulim dan sektor pelancongan di Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada bulan ini, Kedah dijangka menerima bekalan vaksin berjumlah 520,000 dos secara berperingkat iaitu sebanyak 135,000 dos akan diterima pada minggu ini, 143,000 dos pada minggu kedua, 82,000 dos pada minggu ketiga dan 160,000 dos pada minggu keempat.

“Kadar vaksinasi harian 14,000 orang ketika ini juga akan meningkat apabila PPV (pusat pemberian vaksin) PIKAS mula beroperasi pada minggu ini di Kulim dan Sungai Petani serta PPV khas di Langkawi untuk pelancongan,” katanya. - Bernama