Kubur nenek moyang musnah

Masyarakat orang asli menunjukkan kawasan LZ Pos Kelet berhampiran penempatan mereka.
Masyarakat orang asli menunjukkan kawasan LZ Pos Kelet berhampiran penempatan mereka.
A
A
A

Beberapa penduduk Kampung Tasik Cunex bersama media bertolak kira- kira jam 10.40 pagi ke tiga lokasi bagi menjejaki kubur lama orang asli terdahulu.

Laluannya bukan mudah, walaupun kami berpeluang menaiki pacuan empat roda kira-kira setengah jam, kami terpaksa berhadapan dengan laluan balak lama yang sudahpun bersemak, sempit dan tebing jalan yang sudah runtuh, selain tiga lokasi pokok tumbang.

Di pertengahan jalan kelihatan pokok kayu balak meranti bukit yang dipercayai pokok balak tertua di lokasi berkenaan yang ditebang pada sekitar tahun 2016.

Menurut penduduk kampung, itulah bukti pembalakan sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu berhampiran penempatan mereka.

Kemudian kami merentasi sungai menggunakan titi kayu kecil dari batang pokok tumbang untuk ke kawasan kubur berkenaan.

Sampai di satu lokasi kampung asal nenek moyang Kampung Tasik Cunex iaitu Kampung Kelet, seorang penduduk, Angah Itam, 48, kelihatan mundar mandir mencari kubur lama.

"Kita ingat kubur nenek moyang di bawah pokok makan (buah) macam rambutan. Kita berpandukan pokok tapi lepas pembalakan kita susah nak cari kubur di mana.

"Kat sini ada 30 kubur nenek moyang kita dari suku Temiar," katanya sebelum meneruskan perjalanan ke Padang Kapal Doktor Bolton.

Artikel Berkaitan:

Selepas 10 minit perjalanan kami tiba di lokasi pasukan perubatan dan agensi kerajaan melalui perkhidmatan helikopter menurunkan bekalan ubat-ubatan buat penduduk Kampung Kelet.

Lokasi yang bertanda menggunakan batu berwarna putih itu dengan huruf besar LZ POS KELET sudah berusia puluhan tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengapa orang asli marah pembalakan di Gerik, Perak?

Lokasi berkenaan menjadi antara lokasi agensi kerajaan sebelum itu membekalkan bantuan perubatan dan sebagainya kepada penduduk orang asli yang menetap jauh di pedalaman.

10 minit kemudian kami dibawa untuk melihat sebatang pokok durian hutan yang dipercayai sudah berusia 200 tahun.

Menurut Hakim Angah, 29, pokok durian hutan itu ditanam oleh nenek moyangnya dan rasanya juga sangat sedap serta dapat dikongsi bersama seluruh penduduk kampung.

"Sangat sedap, tak pahit manis dan bila musim tiba buahnya banyak keluar," katanya yang bimbang pokok berkenaan bakal ditebang akibat aktiviti pembalakan.

Sementara itu, menurut penduduk tertua Kampung Tasik Cunex, Long Uda, 69, tempat keramat buaya sudah tidak ada buaya berikutan aktiviti pembalakan yang dijalankan di lokasi berkenaan.

"Banyak tempat bersejarah peninggalan nenek moyang yang musnah kerana aktiviti pembalakan. Kita tidak mahu pembalakkan ini diteruskan dan musnahkan hasil pencarian kita pula," katanya.