Pekebun haram robohkan jambatan, halang operasi JPNP

Anggota penguat kuasa sedang membaiki jambatan bagi membolehkan operasi memusnahkan kebun haram dilakukan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub. - Foto ihsan JPNP
Anggota penguat kuasa sedang membaiki jambatan bagi membolehkan operasi memusnahkan kebun haram dilakukan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub. - Foto ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Pekebun haram durian musang king didakwa telah merobohkan empat jambatan yang berada dalam kawasan penerokaan tanah haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub pada Isnin sebagai usaha menghalang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, tindakan itu telah menyebabkan anggota penguat kuasa bersama agensi berkaitan tidak dapat meneruskan operasi.

Menurutnya, perbuatan itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membaiki jambatan tersebut bagi membolehkan operasi memusnahkan kebun dapat dilaksanakan.

"Mereka (pekebun) dipercayai cuba melengahkan operasi kami dengan pelbagai helah termasuk meletakkan sebuah pacuan empat roda didakwa milik pekebun bagi menghalang laluan dengan membocorkan tayar.

"Jadi halangan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan operasi musnah semalam (Isnin) tidak dapat diteruskan seperti dirancang," katanya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan

Durian musang king: Sebulan tempoh musnah kebun

Nor Azirim menjelaskan, pihaknya terpaksa membaiki jambatan dengan cara mengangkat semula dua lantai simen jambatan yang dijatuhkan ke dalam anak sungai.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, anggota terbabit juga terpaksa mengikat menggunakan tali dan mengangkat secara beramai-ramai.

"Operasi turut membabitkan kakitangan Unit Penguat kuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Tranum.

"Saya difahamkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara Kem Bukit Galing, Kuantan akan menyertai operasi musnah, kehadiran PGA lebih menjamin keselamatan mereka yang menjalankan tugas," ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sepanjang operasi musnah itu, seramai 22 individu terdiri daripada pekerja dan pemilik kebun ditahan kerana kesalahan berada di dalam Hutan Simpan Batu Talam dan mereka didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Nor Azirim berkata, pihaknya bertindak tegas dengan memusnahkan kebun durian musang king seluas kira-kira 101 hektar yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam.

"Difahamkan lebih 200 pokok durian musang king telah dimusnahkan pada Ahad. Masih terdapat banyak lagi pokok buah itu yang akan musnahkan," katanya.