Ejen hartanah berhati mulia kembali duit RM207 bilion

Darren James
Darren James
A
A
A

BATON ROUGE - Sepasang suami isteri di negeri Louisiana terkejut besar apabila mendapati wang sebanyak AS$50 bilion (RM207.80 bilion) didepositkan ke dalam akaun bank bersama mereka baru-baru ini.

Pada mulanya seorang ejen hartanah dari bandar raya Baton Rouge, Darren James dan isterinya melakukan pemeriksaan ke atas penyata bank kewangan mereka pada 12 Jun lalu.

Namun, beliau kemudian berasa terkejut apabila mendapati terdapat sebanyak AS$50 bilion di dalam akaun bank bersama dengan isterinya.

James yang terkejut itu turut tertanya-tanya sama ada beliau mempunyai seorang pakcik yang kaya-raya telah bermurah hati memberikan wang sebanyak itu.

Namun, beliau dan isterinya kemudian menghubungi pihak bank selepas melihat baki akaun yang mengejutkan itu bagi mendapatkan penjelasan tentang wang tersebut.

Justeru, pada 15 Jun lalu, pihak bank yang memasukkan wang tersebut membetulkan semula baki sebenar yang sepatutnya ada dalam penyata akaun kewangan milik mereka.

Menurut jurucakap bank itu, Amy Bonitatibus, pihaknya mengalami masalah teknikal yang melibatkan sejumlah akaun bank pelanggan bank tersebut.

Bonitatibus berkata, masalah tersebut kemudiannya berjaya diselesaikan dan baki sebenar wang dalam akaun-akaun yang terlibat itu sudah dibetulkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya merupakan seorang bilionair selama empat hari," kata James seperti dilaporkan oleh portal berita Fox.

Ejen hartanah itu juga berkata, beliau dan isterinya tidak membelanjakan wang tersebut kerana ia bukan milik mereka. - Agensi