Kerajaan digesa batal perintah kuarantin pekerja luar pantai

Ruzaihan Junit
Ruzaihan Junit
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Penaja Offshore Employee Malaysia (OSEM) menggesa kerajaan agar membatalkan perintah kuarantin selama 14 hari bagi pekerja minyak dan gas di luar persisiran pantai.

Pengerusinya, Ruzaihan Junit berkata, arahan kuarantin itu dilihat sebagai tidak logik memandangkan para pekerja luar pantai telah dikuarantin selama 14 hari sebelum ke lokasi masing-masing.

“Arahan ini telah menghilangkan keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance), menjadikan masa para pekerja berjauhan daripada keluarga lebih panjang berbanding masa bersama dengan keluarga.

“Ia juga mewujudkan tekanan yang tidak perlu terhadap pekerja selain mengganggu kestabilan mental para pekerja sekali gus mewujudkan risiko yang lebih besar terhadap keselamatan mereka sewaktu berdepan risiko harian di tempat kerja masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ruzaihan berkata, arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu juga dilihat tidak wajar serta tidak adil bagi pekerja-pekerja luar pantai.

“Arahan itu sama sekali tidak menggambarkan realiti yang berlaku hari ini apabila sektor perkilangan yang merupakan kawasan jangkitan tertinggi di Malaysia diberikan kebebasan.

“Malah, inisiatif terbaharu daripada MITI, Safe@Work membenarkan pula pekerja yang dikenal pasti sebagai kontak rapat untuk terus bekerja.

“Sedangkan, pada masa yang sama, pekerja-pekerja luar pantai yang sihat diasingkan daripada dunia luar termasuk keluarga sendiri selama 14 hari sebelum dibenarkan berkerja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ruzaihan berkata, arahan berkenaan turut memberi impak negatif yang begitu besar terhadap kewangan syarikat di mana terpaksa menanggung bebanan belanja tambahan bagi memenuhi kriteria kuarantin yang ditetapkan.

“Dari segi kekeluargaan, KKM seharusnya membuat perbincangan dengan pihak berkaitan, seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, akan kesan terhadap pembesaran anak-anak tanpa perhatian yang cukup dari seorang bapa,” ujarnya.