Pembentangan Ordinan Darurat, PPN berlawanan titah Agong

ASYRAF WAJDI
ASYRAF WAJDI
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan memanggil persidangan Parlimen bagi memberi penerangan tanpa membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua perkara itu perlu dibahaskan dalam Dewan Rakyat sebagaimana kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini.

“Kalau bentuk penerangan lebih baik dibuat di dewan sekolah. Sudah tentu Parlimen medan untuk perbahasan dan disusuli dengan proses pengundian untuk mendapat kelulusan secara demokratik.

“Apatah lagi perkara seperti PPN, menangani Covid-19 yang terlalu banyak membelenggu dan mencetuskan keresahan rakyat termasuk isu-isu kebajikan, program vaksinasi dan sebagainya yang wajar diangkat serta dibahas,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Pada 5 Julai, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu, kerajaan bersetuju supaya Dewan Rakyat bersidang selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala Dewan Negara pula bersidang selama tiga hari pada 3 hingga 5 Ogos ini.

Ia bertujuan untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan serta peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, perkara itu perlu dibahaskan bagi memastikan suara rakyat yang terbeban ataupun teraniaya dalam isu kompaun umpamanya diangkat.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat juga berhak mendengar perbahasan yang sifatnya akan wujud proses semak dan imbang mengenai kewajaran Ordinan Darurat ini diteruskan ataupun sebaliknya,” ujarnya.

Tambah beliau, Pemuda UMNO melihat bahawa terdapat usaha untuk memandulkan peranan Parlimen sebagai institusi terpenting dalam sistem demokrasi negara kerana terdapat banyak halangan untuk bersidang.

“Sehingga Seri Paduka Baginda terpaksa mengeluarkan kenyataan termasuk memanggil sendiri speaker dan timbalan speaker Dewan Negara serta Dewan Rakyat untuk mengadap bagi menzahirkan hasrat secara lebih jelas,” katanya.