Puad Zarkashi yakin UMNO akan keluar kerajaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yakin parti itu tetap akan memuktamadkan keputusan untuk menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selewat-lewatnya sebelum 1 Ogos hadapan.

Keyakinan Puad itu diutarakan kepada Sinar Harian meskipun pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat serta tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

Jelas beliau, keyakinan itu dilontarkannya setelah setiap ahli MKT UMNO telah membuat pendirian dan keputusan masing-masing, dengan majoritinya dipercayai menyokong parti untuk 'pull the plug' lebih awal sebelum 1 Ogos hadapan.

Tambah Mohd Puad, beliau turut percaya satu mesyuarat MKT secara maya akan diadakan dalam masa terdekat untuk memuktamadkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu parti itu akan menarik sokongan daripada kerajaan PN selepas tamat tempoh darurat pada 1 Ogos atau tarikh-tarikh bersesuaian dengan situasi politik semasa.