MyUni sasar 5,000 pelajar mendaftar menerusi portal berkenaan

Amir Hamzah Md Isa
Amir Hamzah Md Isa
A
A
A

SHAH ALAM - MyUni menyasarkan seramai 5,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendaftar masuk ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) menerusi portal berkenaan.

Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa berkata, MyUni merupakan sistem terbaharu memudahkan pelajar mendaftar secara digital, bersepadu dan berpusat yang pertama di negara ini.

Beliau berkata, proses kemasukan pelajar ke IPTS sebelum itu dilaksanakan secara konvensional oleh institusi masing-masing.

“Melalui pendekatan ini, pelajar berminat untuk melanjutkan pengajian di IPTS atau mereka yang tidak mendapat tempat di IPTA boleh mendapat maklumat lengkap dengan mudah, seterusnya membuat pilihan institusi.

“Inisiatif ini merupakan bukti komitmen berterusan PKIBM dalam membantu kerajaan meningkatkan akses pelajar lepasan sekolah ke pendidikan tinggi,” katanya ketika sidang akhbar pengenalan portal permohonan pelajar ke IPTS itu pada Ahad.

Amir berkata, portal MyUni melibatkan sebanyak 50 IPTS di bawah usahawan pendidikan bumiputera dan semua kursus pengajian di peringkat asasi, diploma dan sarjana muda yang diiktiraf Malaysia Qualification Association (MQA).

Menurutnya, MyUni merupakan satu platform sehenti membolehkan semua pelajar mendapatkan maklumat IPT sama ada bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej, malah program-program yang ditawarkan.

“Sistem ini secara automatik akan memadankan kursus pengajian bersesuaian dengan pilihan lokaliti, minat dan kecenderungan, serta yang lebih penting ialah kelayakan berdasarkan keputusan peperiksaan pelajar tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan saringan ini, portal tersebut akan menyenarai lengkap senarai pengajian yang dipaparkan dan lepasan sekolah boleh memohon sehingga lima program pengajian,” ujarnya.

Beliau berkata, portal MyUni menawarkan akses percuma kepada semua pelajar lepasan SPM dan STPM di seluruh negara.

“Ini merupakan hasil inovasi dan adaptasi norma baharu PKIBM dalam mendepani ketidaktentuan semasa serta cabaran pandemik Covid-19,” jelasnya.

Tambah beliau, seramai 13,000 individu telah mengunjungi portal tersebut dan 500 lepasan pelajar telah mendaftar sebagai pengguna MyUni sejak dibuka pada Mei lalu.

Sehingga kini, katanya, terdapat 50 IPTS telah mengambil bahagian dalam MyUni dan jumlahnya dijangka meningkat.

“Ia melibatkan lima buah IPTS bertaraf universiti, 14 kolej universiti dan 31 kolej dari seluruh negara dengan kapasiti 150,000 tempat pengajian serta tawaran program yang berkualiti tinggi, diiktiraf dan menepati keperluan pasaran pekerja,” katanya.