X

Kindly register in order to view this article
!

Kibar bendera putih tindakan ‘kering idea’ bantu rakyat: Che Abdullah

Che Abdullah
A
A

PASIR MAS – Tindakan sesetengah pihak yang menyeru rakyat supaya mengangkat bendera putih disifatkan sebagai ‘kering idea’ untuk membantu rakyat meneruskan hidup dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebagai seorang pemimpin, negarawan dan individu sepatutnya mendidik rakyat untuk lebih bersabar, bertahan dan berlawan dengan keadaan semasa.

“Sekiranya kamu seorang pemimpin namun menyeru rakyat supaya menyerah diri, mengangkat bendera putih, ini bukan pemimpin, ini pengkhianat negara. Hanya pengkhianat yang menghasut rakyat supaya menyerah kalah dan angkat bendera putih.

“Sepatutnya seorang negarawan perlu menyeru rakyat supaya kuat, gagah dan berlawan dengan apa-apa isu yang dihadapi oleh negara,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II mengadakan lawatan kerja ke Projek Komuniti Kampung Beta, Pohon Buloh dan turut dihadiri Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Panglima Perang, Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut Che Abdullah, pemimpin sepatutnya mempunyai ciri-ciri untuk memastikan rakyat sentiasa bersemangat dan kuat pertahankan negara bersama kerajaan dan pelbagai agensi bagi membendung pandemik Covid-19.

Malah katanya, pemimpin sebenarnya perlu mengajak rakyat untuk sentiasa kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) terutamanya untuk mendaftar vaksinasi sebagaimana yang diseru kerajaan bagi memastikan pandemik ini segera ditangani.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin yang juga Exco kerajaan negeri ketika mengulas isu yang sama memberitahu, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat isu kebajikan rakyat terutamanya golongan memerlukan.

Menurut beliau, kerajaan negeri menyediakan saluran untuk agihan bantuan iaitu menerusi penghulu, penggawa, wakil-wakil kawasan, pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), masjid-masjid dan sebagainya.

“Kita telah tularkan nombor-nombor ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan. Ini saluran-saluran untuk memohon bantuan, namun bukan kita mahu menafikan orang yang meminta bantuan.

“Saya tidak marah kepada rakyat yang angkat bendera, itu sebab kita tahu siapa yang mencadangkan benda ini. Malah, ada berlaku di sebuah negeri di mana rakyat angkat bendera kemudian Pas kawasan tampil hantar bantuan.

“Namun mereka kata mereka tidak memerlukan bantuan tetapi sebenarnya ada ‘seseorang’ yang mengarahkan berbuat demikian,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!