Yadim sasar RM1.5 juta bantu golongan terkesan

Tuan Kamarul Arief (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kotak makanan kepada Zulkifli di bawah Program Yadim Peduli Musa'adah Covid-19 Yadim 3.0 di Depo Operasi Pembersihan MPSP Padang Cempedak, Jalan Permatang Manggis, Tasek Gelugor pada Sabtu. - Foto Bernama
Tuan Kamarul Arief (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kotak makanan kepada Zulkifli di bawah Program Yadim Peduli Musa'adah Covid-19 Yadim 3.0 di Depo Operasi Pembersihan MPSP Padang Cempedak, Jalan Permatang Manggis, Tasek Gelugor pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TASEK GELUGOR - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyasarkan sebanyak RM1.5 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, setakat ini, kira-kira 35,000 keluarga di seluruh Malaysia telah mendapat bantuan berupa kotak makanan yang merupakan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak dan lain-lain barangan makanan kering sejak 1 Januari lepas.

"Saya jangka sampai hujung tahun ini Yadim akan mencapai sasaran kira-kira RM1.5 juta melibatkan penerima di seluruh Malaysia sekitar 70,000 hingga 100,000 keluarga," katanya kepada pemberita ketika menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada petugas Oren Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di bawah Program Yadim Peduli Musa'adah Covid-19 Yadim 3.0, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, di Pulau Pinang sebanyak 400 keluarga menerima bantuan kotak makanan melibatkan peruntukan sebanyak RM23,000 di bawah program itu selain turut melaksanakan beberapa siri program melibatkan golongan nelayan, pelajar dan lain-lain kumpulan yang terkesan.

"Hari ini kita sampaikan bantuan sekitar 400 kotak makanan kepada petugas barisan hadapan di hospital, balai polis serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar daerah Pulau Pinang dengan harapan dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung ketika pandemik ini.

"Meskipun kita tahu kerja mereka berterusan tapi kita sedari dari sudut bebanan di rumah mereka mempunyai ahli keluarga yang perlu ditanggung dan ada dalam kalangan mereka mengalami pengurangan pendapatan. Ini adalah sebagai satu penghargaan kita kepada mereka yang berterusan menjalankan tugas di lapangan," katanya.

Sementara itu, petugas pembersihan Oren MBSP, Zulkifli Dolah, 47, yang menerima bantuan kotak makanan tersebut menyatakan bahawa sumbangan tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada dirinya sekeluarga seramai lima orang ekoran mengalami pengurangan pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Kehidupan sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' memberi sedikit tekanan sebab tidak dapat melakukan kerja lebih masa dan bergantung kepada gaji pokok sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat bertahan dua ke tiga minggu lagi. Terima kasih kepada pihak yang prihatin,” katanya.

Seorang lagi petugas pembersihan Oren MBSP Mohd Hamizan Ahmad, 42, berkata, beliau pernah mengalami keputusan bekalan makanan disebabkan kekurangan sumber pendapatan.

“Sekarang kena jimat cermat. Dengan adanya bantuan seperti ini sekurang-kurangnya dapatlah meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung, alhamdulillah,” katanya. - Bernama