Ilmu Beijing 2008 bantu Syaqiera di Tokyo 2020

Muhammad Marbawi, Laporan Sukan Sinar pada 1 Julai.
Muhammad Marbawi, Laporan Sukan Sinar pada 1 Julai.
A
A
A

PENGALAMAN diraih Olimpian negara, Muhammad Marbawi Sulaiman ketika beraksi pada Sukan Olimpik Beijing 2008 diharap dapat membantu pemanah kebangsaan, Syaqiera Mashayikh di temasya sukan terbesar dunia itu di Tokyo, bulan ini.

Muhammad Marbawi yang beraksi dalam acara recurve individu dan berpasukan lelaki di Beijing memberitahu banyak berkongsi tip bagi menyerap tekanan beraksi di pentas Olimpik kepada Syaqiera memandangkan ini kali pertama anak buahnya itu menyertai temasya sukan berkenaan.

“Saya selalu beri nasihat kepada Syaqiera bagi membantunya membuat persediaan dari segi mental dan fizikal kerana suasana kejohanan besar di Olimpik sangat berbeza.

“Selain itu, Syaqiera diajar bagaimana mengatasi perasaan gemuruh kerana saya tidak mahu beliau terkejut beraksi di hadapan penonton yang ramai di venue pertandingan nanti,” katanya ketika dihubungi.

Syaqiera yang menyertai pasukan memanah negara tahun lepas bakal membuat kemunculan pertama di Sukan Olimpik yang juga merupakan pengalaman ketiga antarabangsanya selepas bertanding di dua kejohanan di Paris, iaitu Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021, bulan lepas.

Terdahulu, Syaqiera terlepas peluang ke Sukan Olimpik Tokyo selepas terkandas pada peringkat kedua acara recurve individu wanita di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli, dengan keputusan 6-2 dalam Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Bukan itu sahaja, beliau juga gagal membantu dua rakan sepasukannya, Nur Ain Ayuni Fozi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil, ke Tokyo menerusi acara recurve berpasukan apabila tersingkir di pusingan pertama kepada Brazil selepas tewas 6-2, dalam kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo itu.

Namun, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan memberitahu Bernama pada Selasa lalu bahawa Malaysia mendapat slot ke Tokyo apabila semakan World Archery mendapati ada dalam kalangan 64 pemanah yang layak tidak melepasi Minimum Qualification Score (MQS) sebanyak 605 mata untuk acara wanita.

Artikel Berkaitan:

NAAM seterusnya memilih Syaqiera apabila mendapati atlet berkenaan melepasi MQS selepas memperoleh 619 mata pada kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo selain menampilkan prestasi menonjol berbanding dua lagi pemanah wanita dalam dua kejohanan di Paris.

Sementara itu, Marbawi enggan memberi sebarang tekanan kepada atlet berusia 21 tahun tersebut namun mahu melihat Syaqiera menyamai atau membaiki catatan peribadi terbaiknya, 619 mata yang diperoleh ketika beraksi dalam kedua-dua kejohanan di Paris, ketika melakukan panahan di Tokyo.

Jurulatih berusia 38 tahun itu yakin Syaqiera boleh melepaskan panahan yang baik ketika saingan di Yumenoshima Park Archery Field sekiranya berjaya mengekalkan tahap konsistensi 80 hingga 90 peratus seperti dipamerkannya semasa sesi latihan.

Beliau juga menganggap atlet dari Segamat, Johor itu bertuah kerana dapat merasai pengalaman beraksi di pentas Olimpik terlebih dahulu walaupun Marbawi sebenarnya mempersiap anak buahnya untuk Sukan SEA 2021 di Vietnam dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Syaqiera yang merupakan pemanah wanita ketiga negara layak ke Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012), bakal menyertai acara recurve individu wanita dan pasukan campuran bersama jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad di Jepun.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo menerusi acara individu selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019. - Bernama