X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Canny Ong paling sukar dirungkai

Amidon bersama pasukan forensik dan suspek turun ke lokasi kejadian. Foto sumber internet
A
A

NEGARA pernah digemparkan dengan kes pembunuhan kejam seorang penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Li Kian pada 2003.

Pakar forensik negara, Amidon Anan, 70, berkata, dalam proses mencari bukti kes itu antara paling mencabar.

Amidon memaklumkan bukti DNA banyak membantu siasatan pasukan forensik.
Amidon memaklumkan bukti DNA banyak membantu siasatan pasukan forensik.

"Hasil pengalaman yang ditimba dalam kursus forensik di luar negara, saya guna aplikasi sains forensik untuk siasatan kes tersebut," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman itu berkata, bekas pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris yang juga suspek kes itu mendakwa dia membakar Canny Ong kerana mahu menghapuskan bukti.

"Dia mendakwa tindakan itu 'dipelajari' daripada sebuah drama televisyen berkaitan forensik luar negara," katanya.

Amidon berkata, beliau pernah berjumpa dengan isteri Ahmad Najib untuk kesahihan maklumat.

"Kita turut bawa Ahmad Najib kerana dia mahu melihat anaknya, dalam masa sama saya dapat mengetahui 'cerita sebenar' mengenai suspek daripada maklumat yang disampaikan oleh isterinya," katanya.

Menurutnya, cabaran lain adalah beliau perlu memberi penerangan berkaitan bukti kes pembunuhan itu dalam perbicaraan di mahkamah.

"Malah hakim turut meninjau lokasi mayat Canny Ong ditemui," katanya.

Pada malam 13 Jun 2003, dikatakan Canny Ong bersama keluarganya serta rakan-rakan baru sahaja menikmati makan malam di restoran di Bangsar Shopping Centre.

Sekitar jam 10.30 malam mereka selesai meluangkan masa bersama dan beransur pulang. Semasa hendak membayar parkir, Canny Ong menyedari tiket parkirnya tertinggal di dalam kereta dan dia pun bergegas mengambil tiketnya itu di tingkat bawah bangunan.

Manakala ketika itu ibu dan adik perempuannya menunggunya di tingkat atas.

Setelah hampir 20 ke 30 minit Canny Ong tidak memunculkan diri, maka ibunya mula merasa risau dan menelefonnya.

Amidon menunjukkan beberapa fail kes jenayah ketika penglibatannya dalam pasukan forensik.
Amidon menunjukkan beberapa fail kes jenayah ketika penglibatannya dalam pasukan forensik.

Perasaan cemas kian memuncak apabila panggilan telefon tidak dijawab. Ibunya bersama dengan adik perempuannya kemudian bergegas ke tempat parkir kereta, tapi alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati kereta Canny Ong tidak kelihatan di situ.

Menurut laporan, Canny Ong telah dirogol di dalam keretanya di bawah jejantas yang masih dalam pembinaan berhampiran Taman Datuk Harun di Jalan Kelang Lama sekitar jam 1 ke 5 pagi (14 Jun 2003).

Kemudian, dia turut dibunuh dengan dua tikaman pisau. Mayat Canny Ong kemudian disumbat ke dalam lubang longkang sempit di tepi lebuh raya dan ditindih dengan dua tayar besar berisi simen.

Penjenayah kemudian muncul semula di lokasi kejadian sehari selepas itu pada 15 Jun dengan membawa dua botol petrol dibeli di stesen minyak di Jalan Pantai Baharu.

Petrol itu dijirus pada mayat mangsa sebelum dibakar hingga rentung. Mujur kejadian itu disedari pengurus tapak binaan lebuh raya sebelum laporan polis segera dilakukan.

Lima hari kemudian iaitu pada 20 Jun 2003, pihak polis akhirnya berjaya menangkap Ahmad Najib yang membunuh Canny Ong susulan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Beberapa bahan bukti seperti baju dan juga seluar telah diambil oleh pihak polis.

Perbicaraan ke atas Ahmad Najib berlangsung selama 13 tahun hingga ia dianggap sebagai perbicaraan kes jenayah paling lama berlangsung dalam landskap jenayah Malaysia.

Dengan bukti kukuh seperti asid deoksiribonukleik (DNA) dan kesan air mani, Ahmad Najib akhirnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Februari 2005.

Pada Jumaat 24 September 2016, sejurus waktu subuh, riwayat Ahmad Najib berakhir di tali gantung.

Amidon 'bercakap' dengan mayat

Amidon bersara dengan pangkat Superintendan berjaya menyelesaikan puluhan kes pembunuhan berprofil tinggi, rompakan dan pelbagai kegiatan jenayah lain.

"Bukan mudah mendakwa penjenayah, tambahan pula tanpa bukti sahih bagi mengaitkannya.

"Jika kita mengamalkan ilmu sains forensik dalam siasatan, nescaya keputusan akan terserlah dan jitu, hingga tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Beliau berkata, dalam menyelesaikan kes pembunuhan, gelagatnya yang suka bercakap dengan mayat selalu disalah erti.

“Saya meminta izin kepada si mati bahawa tugas saya datang itu dengan niat membela kematiannya serta berusaha mengheret si pembunuh ke mahkamah untuk diadili.

"Saya bersama pasukan forensik datang adalah mahu mengumpul bukti daripada mayat dan lokasi pembunuhan supaya ia dapat membantu pegawai penyiasat memberkas suspek,” katanya.

Sepanjang 25 tahun bersama pasukan forensik, selain kes Canny Ong, Amidon turut menyiasat kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin dan Altantuya Shaariibuu.

Amidon memaklumkan beliau mengikut jejak langkah arwah bapanya Anan Yeop Abdullah Sani yang juga anggota polis.

Amidon mempunyai pengalaman luas dalam sains forensik
Amidon mempunyai pengalaman luas dalam sains forensik

"Saya memohon memasuki Polis Diraja Malaysia pada 1976 selepas berhenti bertugas bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Tamat latihan, saya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebagai pegawai penyiasat," katanya.

Amidon pernah menjalani kursus dengan Polis Antarabangsa (Interpol), Scotland Yards, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi mendalami pengetahuan serta kepakaran dalam bidang siasatan forensik.

"Kita juga perlu memahami teknik fotografi bagi membantu siasatan dalam sesuatu kes.

"Gambar yang diambil di lokasi kejadian atau bedah siasat perlu jelas kerana ia akan dikemukakan kepada hakim dan peguam di mahkamah ketika perbicaraan kes," katanya.

Kemajuan sains forensik bantu siasatan

Selepas meninggalkan perkhidmatan di PDRM pada 2008, Amidon dilantik sebagai pensyarah sambilan di institut pengajian tinggi awam.

"Saya pernah mengemukakan cadangan agar mewujudkan satu jabatan lain untuk mengawal selia sampel DNA yang disimpan dalam bank data DNA demi kepentingan umum," katanya.

Menurutnya, dalam sebarang proses siasatan jenayah terutama yang membabitkan kes bunuh, bahan bukti utama yang dijejaki oleh pakar forensik ialah DNA.

"Keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah," katanya.

Amidon bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Amidon bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Amidon berkata, kemajuan sains forensik kini begitu pantas termasuk teknik dan peralatan terbaharu, berbanding sebelum ini

"Jika kita tidak ikut kaedah apa yang ada sekarang, pasti kita akan kertinggalan. Sains Forensik banyak membantu saya dalam siasatan pelbagai kes.

"Peralatan sains forensik kosnya tinggi, namun nilai siasatan adalah amat 'berharga' dan jitu," katanya.

Amidon menasihati golongan muda yang mahu terlibat dalam bidang forensik perlu meletakkan jiwa dalam kerjaya tersebut.

"Belajar dalam bidang forensik tempohnya sekejap sahaja, namun untuk memahami teknik sains forensik itu mengambil masa lama.

"Mahkamah adalah tempat 'ujian' kepakaran kita. Saya berterima kasih kepada peguam dan pendakwa raya walaupun di mahkamah kita 'lawan', namun ia banyak membantu saya untuk menjadi seorang pakar forensik," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!