Berhimpun, kibar bendera protes kerajaan boleh gugat ketenteraman

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan segelintir pihak yang mengajak rakyat mengibarkan bendera dan berhimpun di jalanan sebagai tanda protes terhadap kerajaan disifatkan sebagai elemen provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman negara.

Penganalisis keselamatan dan politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, elemen tersebut boleh mencetuskan ketakutan dan kegentaran terhadap masyarakat awam.

Beliau berkata, tindakan itu juga dilihat cenderung dalam mewujudkan budaya demonstrasi dan menimbulkan hasutan.

“Ia perlu disiasat dan diambil perhatian serius kerana negara ini sebuah negara berdaulat dan kita tidak mahu budaya pemberontakan serta subversif cuba diwujudkan di dalam negara.

“Kewujudan anasir luar juga perlu disiasat kerana budaya pemberontakan akan diambil kesempatan oleh golongan tertentu untuk menjejaskan keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Satu kempen dalam talian dilihat mula digerakkan pada minggu ini untuk mengajak rakyat mengibarkan bendera hitam pada Sabtu iaitu 3 Julai 2021 sebagai menunjukkan tanda kegagalan kerajaan PN.

Kempen yang digerakkan oleh Sekretariat Solidariti Rakyat yang juga penganjur himpunan Undi18 itu turut membuat beberapa tuntutan antaranya meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan serta merta, membuka Parlimen dengan kadar segera dan menamatkan darurat.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy meminta rakyat di dalam negara supaya tidak terpengaruh dengan elemen simbolisme terpilih yang merupakan kaedah utama digunakan untuk mencetuskan keganasan seperti yang telah terjadi di negara luar.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga tertakluk pada akta dan perundangan mencegah keganasan dalam negara. Kita perlu terus fokus dan memastikan pemulihan negara dalam pandemik Covid 19 berjaya dilakukan secara kolektif dan bersama

“Gunakan media sosial sebagai benteng pertahanan negara dan jadilah askar alam maya bersemangat patriotisme yang tinggi dan terus memberi cadangan membina kepada kepimpinan negara seperti mana kejayaan rakyat mendesak pelaksanaan moratorium dan pakej rangsangan berkepentingan rakyat yang lain daripada kerajaan,” ujarnya

Jelas beliau, kebersamaan dan keamanan negara merupakan elemen utama dalam mempertahankan negara dari segala ancaman berkaitan pandemik Covid 19.

Sehubungan itu, beliau berkata, cubaan terancang anasir berkepentingan tertentu yang menggunakan rakyat dengan kaedah propaganda subversif melalui simbol tertentu perlu ditangani dan dihentikan kerana ia akan memudaratkan negara secara keseluruhan.