Wasiyyah Shoppe peneraju segmen hibah harta bercagar

Ariffin Sabirin
Ariffin Sabirin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia mengumumkan pencapaiannya di dalam membantu umat Islam menyediakan hibah untuk harta milik mereka yang masih bercagar kepada pembiaya.

Sepanjang tahun kewangan 2020/21, Wasiyyah Shoppe Berhad telah menyediakan lebih daripada 5,000 dokumen hibah harta bercagar untuk pelanggannya di seluruh Malaysia.

Jumlah ini menjadikan jumlah pelanggan keseluruhan perkhidmatan hibah harta bercagar terkumpulnya semenjak pengenalan perkhidmatan ini pada 2015 seramai 25,000 pelanggan iaitu 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pelanggan yang membuat hibah dengannya semenjak 2004.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, perkhidmatan hibah harta bercagar merupakan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe yang paling mendapat sambutan masyarakat semenjak 6 tahun kebelakangan ini.

Katanya, walaupun Malaysia dilanda pandemik Covid-19 semenjak Mac 2020, perkhidmatan hibah harta bercagar Wasiyyah Shoppe terus mendapat sambutan dengan peningkatan permintaan hampir 100 peratus berbanding tahun kewangan 2019/20.

Tambah Ariffin, perkhidmatan hibah harta bercagar Wasiyyah Shoppe menjadi pilihan masyarakat kerana pengalaman dan kekuatan ilmiahnya yang menjamin dokumen itu berkuatkuasa dari segi undang-undang dan seterusnya mencapai hasrat pelanggan.

“Banyak pihak berpandangan hibah harta bercagar ini tidak sah dari segi hukum. Walaupun Panel Syariah kami telah berijtihad pada 2015 hibah ini adalah sah, bagi mendapatkan lebih kejelasan, Wasiyyah Shoppe Berhad telah menjalankan penyelidikan ilmiah bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2017 untuk mengkaji secara mendalam topik ini.

“Dapatan penyelidikan kami menunjukkan bahawa hibah harta bercagar adalah sah namun tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti kewujudan perlindungan takaful atau keizinan pembiaya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sebagai syarikat amanah patuh syariah berasaskan penyelidikan, Wasiyyah Shoppe Berhad mengaplikasi dapatan penyelidikan tersebut ke dalam perkhidmatannya pada 2017 sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor hibah harta bercagar di Malaysia.

Pandangan Wasiyyah Shoppe tentang keabsahan hibah harta bercagar diperkuatkan lagi apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada Mei 2021 turut mewartakan bahawa hibah untuk harta bercagar adalah sah sekiranya terdapat perlindungan takaful atau mendapat keizinan pembiaya.

“Fatwa ini mengesahkan dapatan penyelidikan kami pada 2017 dan memudahkan usaha kami bagi membantu umat Islam merancang hibah harta bercagar mereka,” kata Ariffin.