X

Kindly register in order to view this article
!

Trump tempelak Biden

Trump (berdiri di podium) berucap di hadapan projek tembok sempadan yang tergendala di Pharr, Texas pada Rabu. - Foto AFP
A
A

WESLACO - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sengaja mahu mencuri kembali tumpuan ramai pada Rabu apabila dengan lantang menempelak penggantinya, Joe Biden yang didakwa mengabaikan keselamatan negara dengan menghapuskan dasar kawalan sempadan.

Ketika berucap di sisi Gabenor Texas, Greg Abbott, bilionair hartanah itu turut mendakwa polisi sempadan Biden telah menyebabkan peningkatan kemasukan pendatang haram dan sindiket penyeludupan dadah.

"Adakah mereka benar-benar mahu buka sempadan atau pentadbiran Biden sebenarnya tidak cekap?” sindir Trump menerusi ucapannya ketika lawatan di sempadan AS-Mexico yang turut merujuk kepada data Reuters yang menunjukkan jumlah pendatang tanpa izin yang ditahan meningkat pada tahap tertinggi dalam tempoh dua dekad sejak peralihan kuasa di Rumah Putih.

Difahamkan, pentadbiran Biden turut memansuhkan kebanyakan dasar imigresen Trump yang lebih ketat termasuk menghentikan projek pembinaan tembok sempadan kontroversi dan menamatkan program yang memaksa puluhan ribu migran menunggu di Mexico sementara menanti kes permohonan suaka mereka selesai di AS.

Sehingga kini, Trump kekal menjadi tokoh paling berpengaruh dalam Parti Republikan dan telah menyuarakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden AS 2024.

Bagaimanapun, beliau menghadapi kesukaran untuk membersihkan semula imejnya susulan insiden kekalahan pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 dan pencerobohan ganas di Capitol pada Januari lalu selain berdepan siasatan jenayah berkaitan pengelakkan cukai yang menyasarkan empayar perniagaan miliknya.

Associated Press (AP) melaporkan Trump Organization dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Allen Weisselberg bakal didakwa di bawah kes tersebut sekali gus menjadi tuduhan jenayah pertama yang dikenakan ke atas Presiden ke-44 AS itu sejak siasatan dilancarkan kira-kira tiga tahun lalu. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!