X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Projek Bandar Aeroangkasa Pahang di Gebeng tahun hadapan

Wan Rosdy menyaksikan pertukaran MoU yang ditandatangani antara Dr Sallehuddin mewakili kerajaan negeri dengan Mohd Khusaini dari PahangCorp di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
A
A

KUANTAN - Pahang bakal membangunkan Projek Bandar Aeroangkasa Pahang melibatkan kawasan seluas 5,042 hektar di Gebeng tahun hadapan sebagai sebuah negeri maju.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Projek Bandar Aeroangkasa Pahang itu dijangka beroperasi pada tahun 2026.

Menurutnya, projek berimpak tinggi itu akan melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara ke-3 (RFN ke-3) iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu di Gebeng.

"Projek ini akan dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bersama syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) iaitu Pahang Corporation Sdn Bhd (PahangCorp)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek itu antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang yang mewakili kerajaan negeri Pahang dengan PahangCorp di Wisma Sri Pahang pada Khamis.

PSK Pahang diwakili Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak manakala PahangCorp diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khusaini Harumaini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, apabila siap kelak, projek itu bakal mempunyai sebuah lapangan terbang antarabangsa dan hub perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan pesawat (MRO) bertaraf dunia.

"Selain itu, Bandar Aeroangkasa ini juga akan menyediakan tapak perindustrian berkaitan penerbangan (Aviation Related Industries) yang mampu menarik minat syarikat-syarikat besar di dalam industri pembinaan pesawat dan komponen pesawat untuk melabur di sini.

"Pembinaan Bandar Aeroangkasa Pahang di Gebeng ini turut mengambil kira faktor hub ekonomi yang lain kerana ia terletak berhampiran kawasan industri Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) selain menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai pasaran MRO bagi kawasan Asia Pasifik untuk tempoh 20 tahun akan datang dianggarkan mencecah RM15 trilion.

"Justeru melalui pembukaan bandar ini kelak, Pahang dijangka memperoleh satu peratus atau RM150 bilion untuk tempoh 20 tahun atau RM7.5 bilion setahun daripada nilai pasaran MRO Asia Pasifik ini.

"Ia juga dijangka bakal menyediakan 50,000 peluang pekerjaan sama ada melibatkan sektor penerbangan atau bukan penerbangan," katanya.

Wan Rosdy berkata, perancangan untuk mewujudkan Bandar Aeroangkasa Pahang ini akan menjadikan Pahang sebagai pilihan utama pelabur berdasarkan kepada perkhidmatan yang disediakan nanti selain faktor geo-ekonomi yang strategik di Pantai Timur.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!