Ramai marah dan minta saya mohon maaf: Nik Abduh

Perkongsian yang dimuat naik Nik Mohamad Abduh dalam Facebooknya pada Khamis.
Perkongsian yang dimuat naik Nik Mohamad Abduh dalam Facebooknya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung rakyat sepatutnya diajar sentiasa berdoa supaya mendapat pertolongan daripada ALLAH SWT dalam segala hal mengundang kemarahan pelbagai pihak.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu juga digesa supaya meminta maaf di atas pandangannya.

"Ramai marah dan minta saya memohon maaf," tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata, pandangan ramai adalah satu pandangan yang diterima ramai sedangkan pandangan kedua adalah pilihannya.

"Tulisan saya sentiasa tegar untuk mengajak rakyat Malaysia berfikir secara dalam dan teliti. Ia demi kesejahteraan negara.

"Seruan saya, lawan Covid-19 dengan kesatuan, doa dan usaha yang berterusan. Atau mudahnya, lawan Covid-19 dengan cara anjuran agama.

"Cadangan kekal cadangan. Ia bukan menjadi kebenaran hanya kerana viral. Siapa pun berhak menolak cadangan. Yang ditegah adalah menolak kebenaran," tulisnya lagi.

Menurut beliau, viral juga bukan panji kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagiannya kebaikan dan bagus sekali. Dan saya sentiasa yakin, sebahagian besarnya adalah hasutan dan tipu daya iblis. Ia mendorong kenistaan, kebencian dan perlecehan terhadap sesama insan.

"Janganlah ketika ALLAH SWT menurunkan bencana Covid-19, ALLAH SWT mengangkat akhlak, adab dan susila daripada kita semua," katanya.

Pada Selasa, Nik Mohamad Abduh dalam kenyataan berkata, rakyat sepatutnya tidak diajar untuk menghadapi kekalahan sebaliknya sentiasa berdoa supaya mendapat pertolongan daripada ALLAH SWT dalam segala hal.

Beliau berkata, melalui berdoa menjadi kekuatan sebenar dalam setiap ujian ALLAH.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kempen bekalan makanan yang digerakkan orang ramai berikutan ramai yang berdepan pelbagai ujian kehidupan sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh awal Jun lalu.

Kempen tersebut melibatkan kibaran bendera putih di hadapan rumah bagi menandakan penghuni di rumah berkenaan memerlukan bantuan makanan dan kewangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkat tangan berdoa bukan angkat bendera putih: Nik Abduh