KPKT nafi tawar pembiayaan peribadi melalui iklan di Facebook

KPKT menafikan sebarang penglibatan dengan iklan yang menawarkan pembiayaan peribadi di Facebook.
KPKT menafikan sebarang penglibatan dengan iklan yang menawarkan pembiayaan peribadi di Facebook.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Khamis menafikan sebarang penglibatan dengan iklan yang menawarkan pembiayaan peribadi ‘Lestari Pinjaman Peribadi KPKT’ kepada orang awam.

Penjelasan itu susulan iklan yang menggunakan logo KPKT dan syarikat Kredit Komuniti berlesen yang didaftarkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), tular di laman sosial Facebook.

“KPKT memandang serius terhadap mana-mana pihak atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen atau tidak berlesen yang menyalahgunakan logo KPKT (Jata Negara), logo Kredit Komuniti dan lesen pemberi pinjam wang untuk tujuan penipuan,” menurut KPKT dalam kenyataan pada Khamis.

Kementerian itu turut memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan serta menyerahkan perkara terbabit kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut terhadap pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

KPKT juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Justeru, KPKT menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran pinjaman dan menghubungi Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT di talian 03-8891 4690/4658/4708 atau mengemukakan aduan melalui https://aduan.kpkt.gov.my serta aplikasi mobil i-KrediKom. - Bernama

Artikel Berkaitan: