Beberapa negeri dijangka tamatkan ‘total lockdown’ minggu depan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perlis, Kelantan dan Terengganu antara negeri yang dijangka akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu depan.

Memetik laporan Astro Awani, keputusan untuk menamatkan ‘total lockdown’ di beberapa negeri itu dibuat oleh kerajaan setelah mengambil kira nilai ambang di negeri terbabit yang berjaya dilandaikan hasil pelaksanaan PPN.

Difahamkan, laporan perincian peralihan di negeri-negeri tersebut sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.

“Langkah ini bagi mengelak negeri-negeri yang menunjukkan perkembangan positif fasa pemulihan, tetapi terhalang daripada beralih ke fasa berikutnya kerana kes Covid-19 yang masih tinggi di negeri Selangor.

“Langkah ini selaras dengan perancangan PPN yang lebih fokus dan bukan pendekatan ‘one-size-fits-all’,” menurut laporan tersebut yang memetik sumber pada Rabu.

Kerajaan mengumumkan bahawa fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan kerana kes Covid-19 belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 selama tujuh hari sebelum peralihan ke fasa seterusnya dapat dilaksanakan.

Sumber dalam laporan tersebut turut menyatakan langkah yang lebih khusus itu akan membolehkan negeri-negeri mencapai nilai ambang peralihan fasa sekali gus melonggarkan sekatan pergerakan dan aktiviti ekonomi.

Katanya, kerajaan juga dijangka mengambil langkah khusus untuk memperketat kawalan pergerakan di negeri Selangor.

Artikel Berkaitan: