Bendera putih ubah hidup Ah Soon

Steven Sim mendengar masalah yang dihadapi oleh Ah Soon.Gambar kanan: Ah Soon menurunkan bendera putih yang dipasang di rumahnya pagi Rabu. - Foto FB Steven Sim Chee Keong
Steven Sim mendengar masalah yang dihadapi oleh Ah Soon.Gambar kanan: Ah Soon menurunkan bendera putih yang dipasang di rumahnya pagi Rabu. - Foto FB Steven Sim Chee Keong
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Terdesak disebabkan kesempitan hidup dan beban hutang menyebabkan seorang penjaja terpaksa mengibarkan bendera putih di laman rumahnya di Bukit Mertajam bagi meminta bantuan.

Tindakan itu dibuat selepas dia buntu kerana tiada siapa yang sudi menghulurkan bantuan walaupun telah memintanya di merata tempat.

Kisah pilu Ah Soon dikongsikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang mendapat tahu mengenai nasib Ah Soon sebelum bertemu dengannya pada pagi Rabu.

Menurut beliau, PKP berulang kali bukan sahaja menyebabkan Ah Soon tidak dapat berniaga malah terpaksa menanggung hutang sewa gerai, motosikal dan sewa rumah.

Malah beliau berkata, bil api dan air rumah Ah Soon juga sudah empat hingga lima bulan tidak dibayar.

"Disebabkan terdesak, Ah Soon juga menjual mesin basuh dan kipas angin di rumahnya demi sesuap nasi.

"Kesempitan hidup menyebabkan dia terpaksa meletak bendera putih petang semalam (Selasa).

Dia sudah menyerah kalah dan Ah Soon beritahu pada jirannya jika dia pergi, mereka boleh ambil motosikalnya," katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Steven Sim membawa Ah Soon membeli barangan keperluannya. - Foto FB Steven Sim Chee Keong
Steven Sim membawa Ah Soon membeli barangan keperluannya. - Foto FB Steven Sim Chee Keong

Mendengar masalah yang dihadapi Ah Soon, Steven Sim berkata, Ah Soon bukannya tidak mencuba, malah berusaha untuk bangkit semula selepas tersungkur berkali-kali.

Katanya, PKP berulang-ulang menyebabkan Ah Soon buntu malah semua usaha tidak menjadi hinggakan dia terlalu penat.

"Saya beritahu Ah Soon, jangan berputus asa.

Hidup ini ada naik dan turun, tapi harapan tetap ada.

"Setidak-tidaknya, ada orang nampak bendera putihnya dan saya telah datang.

Saya tanya Ah Soon, apa yang dia perlu? Dia jawab saya hanya mau (mahu) cari makan.

"Saya boleh bekerja, tapi macam mana saya hendak berusaha dalam keadaan ini.

Dia kata ada lot gerai baru yang lebih baik dekat rumahnya, tapi dia sudah tidak larat," katanya.

Bagi membantu Ah Soon, Steven Sim berkata, beliau bersedia untuk bayar hutang sewa rumah, motosikal selain menjelaskan bil api dan air rumah Ah Soon.

Tambahnya, beliau juga membantu Ah Soon mendapatkan lot gerai baharu dan membayar sewa gerainya sampai hujung tahun ini.

"Kami bercakap lebih satu jam.

Apabila saya ajak Ah Soon bincang menu apa yang dia hendak jual, saya nampak Ah Soon kembali bersemangat.

"Dia bersungguh-sungguh hendak berusaha sendiri.

Dia tulis menunya kepada saya dan kami terus membeli bahan-bahan malah hari ini juga Ah Soon mahu buka gerai baru," tulisnya lagi.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, kempen bendera putih bukan perkara main-main dan ia membuktikan rakyat sedang susah.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru warga Bukit Mertajam agar segera menghubunginya sekiranya berdepan masalah dan beliau akan segera turun memberikan bantuan.

Katanya, dalam beberapa jam sahaja, Ah Soon sudah bangkit semula dan menurunkan bendera putih di depan rumahnya.

"Kawan-kawan yang saya kasihi, jangan berputus asa dalam apa keadaan sekalipun.

Harapan sentiasa ada walaupun sekecil zarah dan sekecil-kecil zarah itu akan memberi sinar kepada hidup kita.

"Masih ramai lagi yang sudi bantu kita. Jika anda ada masalah jangan putus asa, hubungi saya di talian 012-5907507," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kempen kibarkan bendera putih tarik perhatian warganet

ARTIKEL BERKAITAN:Bendera putih bukan bererti mengaku kalah