Polis kawal ketat lokasi sasaran kumpulan baju hitam

Anggota polis melakukan kawalan di Dataran Merdeka pada Rabu.
Anggota polis melakukan kawalan di Dataran Merdeka pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengawal ketat lokasi sasaran kumpulan berbaju hitam yang mengajak masyarakat berkumpul di sekitar ibu negara pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menutup semua laluan keluar dan masuk ke Dataran Merdeka, serta mengawasi kawasan sekitar bangunan dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut dan Jalan Raja Chulan di sini.

"Sehingga jam 12 tengah hari, kita masih belum mengesan sebarang pergerakan mencurigakan yang berkaitan dengan aktiviti perhimpunan berkenaan," ketika ditemui di Dataran Merdeka di sini pada Rabu.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya menasihati masyarakat supaya tidak berkumpul seperti yang diarahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati berdegil dan melanggar arahan polis," katanya.

Mohamad Zainal memaklumkan pihaknya juga turut mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bergerak di beberapa lokasi masuk ke pusat bandar raya khususnya menuju ke kawasan sasaran kumpulan berkenaan.

Kumpulan berbaju hitam itu menyasarkan lokasi seperti Istana Negara dan Istana Negeri di seluruh negara; ibu pejabat KWSP dan semua cawangan KWSP di seluruh negara, Dataran Merdeka dan Dataran Putra (Masjid Putrajaya) untuk mengajak orang ramai berhimpun.

Artikel Berkaitan: