SPRM tahan tiga anggota polis disyaki minta, terima rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga anggota polis telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2,000 daripada seorang individu bagi mengelakkan daripada dikompaun atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 26 hingga 31 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 6 petang pada Selasa, selepas hadir memberikan keterangan.

"Difahamkan, kejadian berlaku apabila individu tersebut sedang menjalankan kerja-kerja mengalihkan batu-bata dari lori kren ke rumah kakaknya yang sedang dalam pembinaan di Shah Alam didatangi oleh ketiga-tiga suspek pada Jumaat.

"Salah seorang daripada suspek telah meminta dan menerima wang tunai daripada individu tersebut agar kerja-kerja yang dilakukannya tidak diadukan kepada Pegawai Pemantau Polis untuk tindakan kompaun sebanyak RM20,000 hingga RM50,000 disebabkan menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada jam 9 pagi esok untuk permohonan reman," katanya.

Artikel Berkaitan: