Tindak balas campur vaksin lebih baik

Kajian Com-COV itu dilakukan selama empat minggu ke atas 830 sukarelawan. Foto: Agensi
Kajian Com-COV itu dilakukan selama empat minggu ke atas 830 sukarelawan. Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Kaedah mencampurkan vaksin Pfizer-BioNTech yang diberikan dalam tempoh selang empat minggu selepas suntikan AstraZeneca-Oxford memberikan tindak balas imun lebih baik.

Laporan oleh Oxford University tersebut diterbitkan Isnin selepas kajian digelar Com-COV itu mendapati campuran dua dos vaksin menghasilkan antibodi lebih tinggi untuk melawan lonjakan protein virus Covid-19.

Data itu sekali gus menyokong keputusan beberapa negara Eropah yang sudah mula menawarkan alternatif vaksin AstraZeneca sebagai dos suntikan kedua.

Profesor Matthew Snape berkata, penemuan kajian itu boleh digunakan untuk program vaksinasi yang lebih fleksibel.

“Ia memberikan keputusan yang positif apabila antibodi dan sel-T bertindak balas dengan jadual vaksin campuran tersebut.

“Bagaimanapun, saya berpendapat lebih baik kekalkan jadual pemberian vaksin sedia ada yang terbukti berkesan melainkan terdapat sebab lebih baik untuk mencampurkan vaksin berbeza,” katanya yang merujuk kepada dua suntikan vaksin sama yang keberkesanannya telah diakui di bawah ujian klinikal.

Keputusan ujian itu mendapati tindak balas antibodi paling tinggi dapat dilihat pada individu yang menerima dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech manakala campuran dua vaksin memberi respons lebih baik berbanding hanya menggunakan dua dos suntikan vaksin AstraZeneca-Oxford.

Laporan kajian selama empat minggu ke atas 830 sukarelawan itu menunjukkan pemberian suntikan vaksin AstraZeneca-Oxford yang disusuli Pfizer-BioNTech menghasilkan tindak balas sel T dan antibodi lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

“AstraZeneca-Oxford menghasilkan tindak balas imun lebih baik dengan tempoh selang lebih panjang antara dos pertama dan kedua,” jelas Snape lagi.

Di Britain, ia menyarankan tempoh selang lapan minggu antara dos vaksin untuk individu berusia 40 tahun ke atas dan tempoh selang 12 minggu ke atas golongan dewasa. - Agensi