X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Negara rugi RM4 bilion setahun kerana nelayan asing

Hamzah (dua dari kiri) melihat hasil laut yang dirampas daripada bot nelayan ketika tinjauan operasi pematuhan SOP di Ibu Pejabat Maritim Terengganu di Kuala Terengganu pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Malaysia mengalami kerugian dianggarkan tidak kurang RM4 bilion setahun angkara nelayan asing yang menceroboh perairan dan mengaut hasil laut negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendapati, kira-kira 8,000 bot nelayan asing Vietnam melakukan operasi mencuri hasil laut negara ini.

Beliau berkata, tindakan pemilik bot tempatan menggunakan hampir 90 peratus kru warga asing menjadi salah satu faktor pencerobohan bot nelayan asing terus berleluasa walaupun penguatkuasaan berterusan dilakukan.

"Kita dapati nelayan warga asing ini duduk tengah laut menukar kru. Ada hasil mereka bawa balik ke negara mereka dan sesekali mereka bawa balik hasil ke negara ini, tapi kebanyakan berlaku jualan di tengah laut.

"Tahun lepas saja, kita perhatikan terdapat lebih kurang 8,000 bot Vietnam melakukan operasi di tengah laut. Bila kita pergi dekat, mereka lari. Daripada 8,000 bot ini, dianggarkan hasil tangkapan ikan dibawa balik ke negara mereka ialah minimum RM4 bilion," katanya kepada pemberita selepas melawat Maritim Malaysia Terengganu di sini pada Selasa.

Sebelum itu beliau turut meninjau operasi pemantauan SOP di Penjara Marang dan operasi Jabatan Imigresen di bandaraya Kuala Terengganu.

Hamzah berkata, sepanjang tahun lalu, Maritim Malaysia berjaya menahan 94 bot nelayan asing dan menangkap 965 kru pelbagai warganegara dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM115.7 juta.

"Operasi bersepadu melibatkan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara akan terus digerakkan bagi membendung pencerobohan ini. Kita mahu kekayaan hasil laut negara dapat kepada kita, bukan dicuri oleh nelayan asing," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi menaik taraf kuarters kakitangan Penjara Marang.

Beliau berkata, tender projek menaik taraf 64 unit blok kediaman membabitkan empat blok itu akan dibuka pada Ogos depan dan kerja-kerja dijangka bermula sama ada pada Oktober atau November ini.

"Projek jangka masuk tapak pada Oktober atau November ini. Kalau ini kita boleh lakukan secepat mungkin, ia akan memberikan keselesaan kepada anggota dan pegawai Penjara yang tinggal di Marang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!