Polis terima 28 laporan di PRK Semenyih

Mohd Sabri ketika ditemui media, hari ini.
Mohd Sabri ketika ditemui media, hari ini.
A
A
A

SEMENYIH - Polis menerima 28 laporan polis berkaitan PRK DUN Semenyih bermula hari penamaan calon pada 16 Februari lalu hingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintendan Sabri Abdullah berkata, daripada kesemua laporan tersebut, lapan kertas siasatan telah dibuka.

"Ia termasuk kertas siasatan mengenai dua bunting kempen calon Bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali 'Uncle Kentang' dipercayai telah dipotong.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 247 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Sabri berkata, polis telah meluluskan 154 permit bagi aktiviti ceramah dan berkempen bagi BN, PH dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Daripada jumlah tersebut, 66 permit bagi BN, PH (78) dan PSM (10) manakala calon bebas tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk permit," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 951 anggota polis terlibat dalam proses pengundian awal pada Selasa ini.

"Seramai 97 anggota akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan 854 di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih.

Artikel Berkaitan:

"Proses pengundian akan dilaksanakan pada jam 8 pagi hingga 2 petang di IPD Kajang, manakala di Kem Batalion 4 PGA Semenyih pula pada jam 8 pagi sehingga 5 petang," katanya.