Nikmat makan, kongsi rezeki

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

GEJALA Covid-19 berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain. Malah, kini ramai yang ternyata tidak bergejala.

Antara gejalanya adalah demam, batuk, cirit-birit dan hilang deria bau serta rasa. Kehilangan deria bau dan rasa sememangnya sangat menginsafkan; makan apa pun tak sedap.

Salah satu keperluan asas manusia adalah makan dan minum. Kita hanya dapat merasai nikmat makan dan minum ketika sihat. Waktu sihat, kita boleh makan sepuas-puasnya sehingga cukup kenyang.

Adakalanya, sehingga sendawa beberapa kali walaupun sebagai umat Islam kita dianjurkan untuk berhenti makan sebelum kenyang.

Teringat saya pada kata-kata nasihat, “kita makan untuk hidup, bukannya hidup untuk makan.”

Maksud makan untuk hidup adalah hidup merupakan prioriti dan makan atau makanan merupakan salah satu cara atau alat untuk menjalani kehidupan.

Manakala hidup untuk makan pula sebaliknya; umpama tidak guna hidup jika tidak boleh menikmati keenakan makanan yang ada.

Bilakah masa atau keadaan yang mana makanan itu paling sedap? Nikmat ditentukan dua perkara iaitu bahan atau rasa dan situasi atau suasana.

Artikel Berkaitan:

Rasa enak itu subjektif sehingga enak bagi seseorang itu belum tentu enak bagi seorang yang lain. Yang penting bukan bahan atau rasanya, tapi situasi atau suasananya.

Jika ingin makanan rasa sedap, maka laparlah. Jika ingin minum yang sedap, hauslah. ALLAH SWT memberikan jalan agar kita lapar dan haus melalui ibadah puasa (wajib dan sunnah).

Tidak perlu makan ubat untuk menaikkan selera makan tapi berpuasalah kerana akan mendatangkan kebaikan (Surah Al-Baqarah:184).

Makan dan minum setiap hari sudah biasa tapi ketika berbuka puasa, nikmatnya luar biasa.

Puasa dengan menahan lapar dan dahaga bukanlah satu penyeksaan. Di sebalik setiap derita, ada kepuasan. Tiada kelazatan kecuali setelah kepayahan.

Di akhirat kelak, orang beriman dan beramal soleh akan dihidangkan makanan lazat, lalu ALLAH SWT berfirman, ”Makan dan minumlah yang sedap." (Surah At-Tur:19, Surah Az-Zukhruf:43).

Selain itu, makanan yang paling sedap juga adalah ketika kita kecil dahulu.

Walaupun sekadar ikan selar masak kicap yang dipotong empat untuk dibahagi dengan adik-beradik, itulah makanan yang paling sedap, lebih-lebih lagi yang dimasak oleh ibu kita.

Lauk-pauk di restoran atau hotel mewah tidak sedikitpun mampu menandingi kelazatan makanan sewaktu kita kecil dahulu.

Kata Hamka, “Lihatlah bagaimana ALLAH SWT membahagi-bahagikan nikmat kepada manusia.”

Mungkin ALLAH SWT memberikan kita tilam yang empuk berjenama mahal tetapi ALLAH SWT memberikan tidur yang lena kepada si miskin yang tidur di atas tikar yang nipis.

Mungkin ALLAH SWT memberikan kita rezeki makanan yang lazat tetapi ALLAH SWT mendatangkan selera dan kesedapan kepada si miskin yang makan ala kadar.

Dari Ibnu Abas dari Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tidak termasuk orang mukmin orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Riwayat Tabrani, no 12579).

Antara bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan tetangga.

Tidak beriman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang kelaparan.

Maka, bagi mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT kepada kita, jom kongsi rezeki kita dengan orang lain.

Pastikan tiada sahabat atau jiran-jiran di sekeliling kita yang kelaparan.

Mudah-mudahan ia menjadi salah satu asbab kita mendapat lebih banyak nikmat dan beroleh keampunan serta rahmat dari ALLAH SWT.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia