MPM harap lebih ramai atlet para sertai Sukan Paralimpik Tokyo

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menjangkakan sekurang-kurangnya 10 lagi atlet akan menyertai 16 atlet kebangsaan yang telah mengesahkan tempat mereka dalam Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September depan.

Hal ini dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi dan Mesyuarat Agung Tahunan MPM yang dijalankan secara dalam talian yang disertai ahli jawatankuasa utama daripada 25 anggota PCM serta Anggota Ex-Officio dari pelbagai agensi kerajaan.

“Pemilihan akhir kontinjen yang akan mewakili negara masih terbuka dan akan diputuskan pada pertengahan Julai,” menurut PCM dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut MPM, semua perancangan berjalan lancar dan MPM bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mengambil tindakan yang diperlukan untuk membolehkan atlet bertanding dalam temasya sukan itu.

Atlet para kebangsaan juga dijangka mengambil bahagian dalam Sukan Para Belia Asia di Bahrain dan Sukan Para ASEAN di Hanoi yang berlangsung pada Disember sebelum beralih ke Sukan Para Asia, Sukan Komanwel dan Para Sukma, semuanya diadakan pada 2022.

Menyentuh aktiviti pembangunan, kenyataan itu menyebut MPM dan MSN akan melibatkan semua Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) bagi menentukan hala tuju pelan pembangunan bagi setiap satu daripada 25 sukan para untuk tempoh lima tahun akan datang dengan mengambil kira norma baharu susulan cabaran COVID-19.

Pelan untuk kesemua 25 sukan itu akan dibentang kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk pertimbangan dan kelulusan bajet.

Menurut MPM, susulan kejayaan bertaraf dunia yang dicapai dalam beberapa sukan para seperti powerlifting, olahraga, badminton dan memanah, NSA telah menzahirkan harapan agar kerajaan mengambil maklum perkara itu serta menyediakan sistem sokongan holistik bagi pembangunan lestari sukan para di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan turut dihadiri Presiden Persatuan Menembak Para Kebangsaan, Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang menjadi ahli terbaharu menganggotai majlis tersebut.- Bernama