Tangani isu LGBT melalui pendidikan: Mufti

Wan Mohd Salim
Wan Mohd Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Ketegasan kerajaan yang tidak akan berganjak daripada pendiriannya dalam isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) adalah tepat dan wajar dipuji.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, pendirian itu telah dinyatakan berulang kali oleh beberapa pemimpin kerajaan daripada pelbagai parti politik yang pernah memegang kuasa pemerintahan negara.

Menurutnya, hampir keseluruhan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan penganut agama memang bersetuju dan menyokong penuh pendirian tegas kerajaan dalam isu LGBT ini.

"Semua orang yang waras dan normal memahami tentang keburukan gara hidup songsang ini yang tidak diragui lagi mampu menggugat kestabilan negara dan menghancurkan kerukunan hidup rakyat pada masa hadapan.

"Dalam usaha mencari penyelesaian yang tuntas bagi fenomena songsang ini, pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk ahli politik, tokoh pendidikan, pakar psikologi, golongan agamawan dan beberapa kalangan lain," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Wan Mohd Salim berkata, beliau secara peribadi lebih yakin cara paling berkesan untuk menangani permasalahan ini adalah menerusi pendidikan sama ada formal atau tidak formal.

Jelasnya, ibu bapa dan para pendidik diharap mampu melaksanakan peranan masing-masing untuk mendidik kanak-kanak sejak seawal usia mereka dari sudut pembentukan sikap dan pemikiran yang betul mengenai seks.

Katanya, mereka juga perlu didedahkan cara yang normal untuk melayani kehendak naluri manusia supaya tidak berlaku penyelewengan yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat pengajian tinggi, mungkin wajar disemak semula kurikulum yang digunakan untuk memastikan kandungannya tiada elemen-elemen negatif yang boleh mempengaruhi minda para pelajar atau mendorong mereka ke arah melakukan tindakan-tindakan yang menyeleweng daripada lunas-lunas agama dan nilai-nilai moral yang baik.

"Fahaman-fahaman sesat seperti teori Evolusi ajaran Charls Darwin dan Psycho-analytic oleh Sigmund Freud tidak sepatutnya diajar kepada para pelajar kita.

"Jika didapati ada keperluan untuk tujuan akademik misalnya maka ia hendaklah dikemukakan secara kritis dengan menerangkan kepalsuan teori-teori tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Salim turut meminta pihak-pihak yang menyokong agenda LGBT supaya segera berhenti daripada perjuangan mereka yang sia-sia.

Katanya, mereka perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang menjunjung ajaran-ajaran agama dan nilai-nilai akhlak murni.

"Malaysia bukan sebahagian Eropah dan Amerika Syarikat yang mengalami hakisan agama serta akhlak disebabkan latar belakang sejarah tertentu sejak era Renaissance, sedangkan dalam abad-abad pertengahan dahulu masyarakat Eropah begitu berpegang teguh dengan agama dan tradisi mereka," katanya.