Langgar SOP: Dua artis hadir beri keterangan

Tangkap layar gambar seorang selebriti menyertai majlis sosial di Bidor pada Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca, gambar kecil: Wan Azharuddin Wan Ismail
Tangkap layar gambar seorang selebriti menyertai majlis sosial di Bidor pada Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca, gambar kecil: Wan Azharuddin Wan Ismail
A
A
A

TAPAH - Polis sudah mengambil keterangan seorang artis lelaki terkenal bergelar Datuk berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam satu majlis sosial di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor pada Khamis lalu.

Penyanyi berusia 62 tahun itu tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada jam 1.30 petang pada Ahad untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, seorang lagi pelakon dan penyanyi lelaki era 80-an turut dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, artis berusia 67 tahun yang turut berada di majlis sosial itu tiba di IPD Tapah pada jam 12 tengah hari.

"Selain kedua-dua selebriti itu, kita juga telah memanggil enam individu lain termasuk penganjur untuk diambil keterangan.

"Keenam-enam individu tersebut hadir untuk siasatan pada jam 9.30 malam pada Sabtu," katanya ketika dihubungi di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan durian: Artis bergelar Datuk dipanggil polis

Sinar Harian melaporkan seorang penyanyi bergelar Datuk dan beberapa individu lain akan diambil keterangan selepas gambar mereka makan durian di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Kesemua individu itu didapati telah melanggar SOP kerana tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Difahamkan, pada majlis berkenaan turut diadakan aktiviti seperti jamuan dan karaoke.