Kompaun RM5,000 dikenakan ikut garis panduan: Polis

Tular video Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membidas tindakan pihak polis mengeluarkan kompaun kepada seorang wanita ke pasar raya untuk mendapatkan keperluan harian.
Tular video Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membidas tindakan pihak polis mengeluarkan kompaun kepada seorang wanita ke pasar raya untuk mendapatkan keperluan harian.
A
A
A

MELAKA - Polis menegaskan tindakan kompaun RM5,000 ke atas seorang wanita yang tular semalam (Sabtu) adalah mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu kerana merentas daerah tanpa alasan munasabah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tindakan berkenaan wajar selepas wanita berumur 40 tahun itu ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Angkasa Nuri, Batu Berendam daerah Melaka Tengah kira-kira 11.30 pagi pada 13 Jun lepas.

Katanya, hasil pemeriksaan anggota polis bertugas mendapati wanita itu merentas daerah dari rumahnya di Taman Desa Idaman, Pekan Durian Tunggal, Alor Gajah ke lokasi SJR sejauh lapan kilometer.

"Ketika disoal, wanita itu memberitahu tujuan rentas daerah ialah untuk ke rumah kakaknya di Taman Merdeka tanpa menyatakan sebab untuk pergi ke pasar raya bagi mendapatkan barang keperluan harian walaupun boleh didapati di kawasan Pekan Durian Tunggal," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Justeru, beliau berkata, satu tindakan kompaun telah dikeluarkan terhadap wanita tersebut di bawah Peraturan 4 (1) (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021) kerana merentas daerah tanpa dokumen dan alasan munasabah.

Jelas Afzanizar, sekiranya orang kena kompaun (OKK) tidak berpuas hati, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada pegawai kesihatan daerah Melaka Tengah untuk pengurangan bayaran kompaun.

Satu klip video dalam laman sesawang sebuah portal akhbar berbahasa Cina melaporkan, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong membidas tindakan pihak polis mengeluarkan kompaun kepada seorang wanita dari Taman Desa Idaman Durian Tunggal ke sebuah pasar raya di Taman Angkasa Nuri untuk mendapatkan keperluan harian.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan dalam radius 10 kilometer dari tempat kediaman masing-masing tanpa perlu merentas daerah.

Artikel Berkaitan:

“Pihak polis juga menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditetapkan dan terus kekal di rumah jika tiada keperluan untuk keluar semasa dalam tempoh PKP 3.0 ini," katanya. - Bernama