X

Kindly register in order to view this article
!

Terpaksa sertai PdPR di tepi sungai

Dari kanan Aina Safia Zahari, 12, Siti Nur Awatif Abdul Ghani, 11, Nur Salmy Umairah, 12 dan Ukhail Mukhriz Ulul Azmi, 10, terpaksa keluar ke tepi sungai bagi mencari talian internet bagi mengikuti PdPR.
A
A

YAN - Beberapa kanak-kanak di Kampung Setol di sini terpaksa duduk di tepi sungai bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan masalah capaian internet yang tidak memuaskan.

Sabariah Saad, 52, berkata, anaknya, Aina Safia Zahari, 12, dan rakan-rakannya terpaksa mencari 'line' internet di luar rumah sehingga ke tepi sungai bagi memudahkan mereka berinteraksi dan menghantar tugasan yang diberikan.

Sabariah yang juga seorang guru turut berdepan masalah sama sepanjang mengendalikan PdPR walaupun sudah beberapa kali bertukar talian perkhidmatan internet.

"Respon daripada pelajar juga lambat diterima dan ada kalanya dua hingga tiga jika diberi latihan," jelasnya.

Menurut Sabariah, tekanan sama turut dihadapi seorang lagi anaknya yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga terpaksa menumpang di rumah rakan bagi menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

Dalam situasi sama katanya, seorang ahli keluarganya terpaksa berpindah ke rumah saudara lain selepas diarahkan majikan melakukan jualan atas talian berikutan penutupan kedai kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa keluar malam cari 'line' siapkan tugasan

Seorang lagi penduduk, Suraya Laila Saad, 43, berkata, selain masalah internet, penduduk juga berdepan gangguan telefon terutama ketika kecemasan.

"Saya pernah alami masalah ketika jiran menelefon memaklumkan keadaan emak yang sakit. Hujan lebat dan suara terputus-putus.

"Saya juga berpesan kepada anak-anak supaya tidak menelefon pada waktu malam kerana suara tidak jelas," katanya.

Justeru, penduduk memohon pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap masalah gangguan yang dihadapi kerana kini banyak urusan penting dilaksanakan menerusi atas talian.

Kegagalan capaian internet menyebabkan kira-kira 250 penduduk luar bandar terbabit dinafikan hak menikmati kemudahan komunikasi yang kini antara keperluan utama dalam meneruskan sektor pendidikan, ekonomi dan sosial rakyat yang terjejas sepanjang PKP.

Mereka mendakwa kedudukan Kampung Setol terletak tidak jauh dari lokasi peranginan popular, Titi Hayun serta berada di kaki Gunung Jerai yang menjadi tumpuan pelancong tetapi masih gagal menikmati kemudahan internet.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beradik dari Kampung Setol, Yan gigih mengikuti kuliah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) walaupun capaian internet di kampung mereka tidak memuaskan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!