X

Kindly register in order to view this article
!

Jurujual diberkas tipu jual vaksin Covid-19

Polis menahan reman tiga jurujual syarikat swasta termasuk seorang lelaki yang disyaki menjalankan penipuan penjualan vaksin Covid-19.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan reman tiga jurujual syarikat swasta termasuk seorang lelaki yang disyaki menjalankan penipuan penjualan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Rabu susulan satu laporan polis oleh Pegawai Penyelidik Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF)

Menurutnya, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang menahan mereka turut merampas enam telefon bimbit dan beberapa dokumen.

"Mereka akan direman tiga hari sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420/411 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal, mereka akan menghubungi orang awam secara rawak dan menawarkan RM420 bagi dua dos suntikan vaksin Covid-19. Bayaran dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, semakan dengan Ketua Sekretariat CITF Persekutuan mengesahkan bahawa Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang mendakwa menjual vaksin Covid-19.

Sekiranya mempunyai maklumat berkenaan aktiviti penjualan vaksin Covid-19, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Sekretariat CITF (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) di talian 03-88934303/4304.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!