X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

'Jangan biar TMJ ternanti-nanti'

Laporan Sukan Sinar baru-baru ini. Gambar kecil: KHALID JAMLUS
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membuat keputusan segera membenarkan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih skuad Harimau Malaya.

Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berkata, FAM perlu memberikan ruang untuk Tunku Ismail 'menyiapkan' pasukan lebih awal sebagai persediaan menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung tahun depan.

"Apabila ada orang yang nak baik pulih permainan bola sepak dan pasukan kebangsaan kita, kenapa nak tangguh-tangguh lagi? Semua orang tahu kebolehan yang dimiliki Tunku dari segi fasiliti, keupayaan, staf kejurulatihan sehinggalah kepada pemain.

"Saya sendiri setuju dengan pengambilalihan pasukan kebangsaan dengan menjangkakan banyak pembaharuan akan dibuat oleh TMJ dalam pasukan Harimau Malaya. Senang cerita, apa yang dibuat Tunku nanti akan membanggakan penyokong seluruh negara.

"Jadi, kenapa nak tunggu lagi nak kaji dan sebagainya. Bagi saya sebagai penyokong mengharapkan yang terbaik buat pasukan negara terutama untuk melihat persiapan rapi bagi menghadapi saingan getir kelayakan ketiga pada bulan dua nanti," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan tawaran Tunku Ismail itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang ketetapan dapat dibuat.

Ia susulan badan induk bola sepak negara itu mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum boleh menyerahkan pasukan Harimau Malaya kepada Tunku Ismail.

Mengulas lanjut, Khalid percaya FAM cukup bijak untuk membuat keputusan sama ada mahu memberikan sepenuh kuasa atau hanya kerjasama tertentu dengan Tunku Ismail.

"Terpulang kepada FAM. Memang betul FAM sebelum ini berkuasa sepenuhnya ke atas Harimau Malaya, tetapi perkara ini boleh dibincangkan. Tunku sudah menyatakan hasrat dan kenapa tidak ia diteruskan.

"Setiap orang ternantikan sebuah pasukan Harimau Malaya yang cukup digeruni seperti era 70 dan 80-an. Mungkin inilah satu permulaan ke arah yang membanggakan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!