KPM cadang pelajar kelas peperiksaan kembali ke sekolah lebih awal


MOHD RADZI
MOHD RADZI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pelajar kelas peperiksaan dibenarkan kembali ke sekolah lebih awal daripada Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bagi menyokong permohonan itu, KPM juga memohon kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) supaya pemberian vaksin kepada guru dan pelajar kategori itu dapat dipercepatkan.

“Namun ini semua tertakluk kepada keputusan MKN bila anak-anak kelas peperiksaan ini dapat kembali ke sekolah secara bersemuka. Urusan vaksinasi pula di bawah JKJAV, maka segala proses itu akan dilaksanakan oleh mereka.

"Dalam konteks pendidikan, kita akan bincang bagaimana kita boleh laksanakan (vaksinasi) di sekolah atau sebagainya dan ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam,” katanya dalam Wawancara Pelan Pemulihan Negara secara dalam talian, pada Selasa.

Menurut beliau, setakat ini 36 peratus atau 148,580 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Ditanya jika guru-guru dan pelajar selain kelas peperiksaan juga akan diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin, Radzi berkata, KPM membuat cadangan kepada JKJAV berdasarkan keutamaan atas faktor bekalan vaksin yang terhad.

“Kalau boleh kita mahu semuanya divaksin namun dilihat dari sudut priority (keutamaan) disebabkan bekalan yang terhad dan sebab itu kita mohon supaya murid dan guru Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) didahulukan,” katanya.

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, sektor pendidikan akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat bermula fasa ketiga apabila negara berjaya memenuhi tiga nilai ambang yang dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos.

Artikel Berkaitan:

Nilai ambang tersebut adalah purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Sementara itu, Radzi menjelaskan keputusan terdahulu dibuat KPM termasuk membatalkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini tidak akan berubah meskipun jika mereka yang terlibat telah menerima vaksin nanti.

Mengenai pengambilan khas 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, Radzi menegaskan bahawa calon yang mempunyai latar belakang pendidikan akan diberi keutamaan sebelum ia dibuka kepada graduan lain.

Namun sekiranya calon kelulusan lain yang tidak mempunyai latar belakang ikhtisas pendidikan dipilih, mereka akan diberikan latihan secukupnya bagi memastikan bakal guru itu dapat menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran dengan baik.

“Kita amat menitikberatkan kualiti guru-guru di sekolah jadi ini bukan pengambilan sembarangan sebaliknya satu proses tersusun dan teliti untuk kita lihat. Sekiranya guru untuk subjek tertentu tidak dapat diisi oleh graduan ikhtisas pendidikan, kita akan pastikan calon yang dipilih itu mendapat latihan secukupnya.

Beri keyakinan kepada kami kerana kami cuba menyelesaikan isu yang telah berlarutan lama dan pendekatan yang kami ambil ini tidak akan menjejaskan kualiti guru yang bakal mengajar di sekolah kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM juga sedang berusaha menyelesaikan isu perpindahan guru “duka lara” dan meminta semua pihak memberi sedikit masa untuk kementerian menyusun pendekatan yang lebih menyeluruh.

Guru “duka lara” biasanya merujuk sebagai guru-guru yang terpisah jauh antara suami dengan isteri seperti seorang di Semenanjung manakala seorang lagi di Sabah atau Sarawak, atau dalam kes tertentu anak dengan ibu bapa. - Bernama