X

Kindly register in order to view this article
!

Sudah bayar vaksin tapi bekalan belum sampai: Muhyiddin

MUHYIDDIN
A
A

TANGKAK - Kerajaan sudah membeli dan membayar bekalan vaksin Covid- 19 bagi keperluan rakyat di negara ini namun masih belum menerima bekalan tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan telah diberikan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar pembekal mempercepatkan penghantaran vaksin Covid-19.

"Kerajaan sudah beli dan bayar tapi bekalan vaksin yang ditempah itu belum sampai. Seluruh dunia perlukan vaksin sekarang.

"Saya sudah arahkan menteri yang bertanggungjawab agar pembekal dapat membekalkan vaksin dalam tempoh lebih cepat. Jika pengilang sudah keluarkan lebih banyak vaksin, kerajaan harap bekalan vaksin lebih banyak akan dihantar ke negara ini," katanya dalam sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) Dewan Muafakat Bukit Gambir, di sini, pada Selasa.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Muhyiddin, kerajaan menjangkakan sebanyak 16 juta dos vaksin tiba di negara ini pada Julai dan Ogos.

"Selain soal bekalan vaksin yang dibangkitkan, saya kira pendaftaran orang ramai sebagai penerima vaksin juga penting, seterusnya perlu disegerakan pemberian vaksin ini.

"Saya sudah perjelaskan di peringkat nasional agar tingkatkan jumlah penerima vaksin kepada 400,000 sehari berbanding sekarang hanya hampir 250,000 sehari, di mana ada lagi ruang yang perlu ditingkatkan," katanya.

Menurut beliau, kerajaan sudah mempersiapkan pelbagai kemudahan dan memastikan bekalan vaksin sampai ke kawasan luar bandar serta pedalaman sebagai persediaan bagi meningkatkan jumlah penerima vaksin di negara ini.

"Persiapan dilakukan dengan baik setakat ini di mana banyak Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) Mega dibuka seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil, seterusnya di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

"Persiapan sudah dibuat di kawasan luar bandar dan pedalaman dengan PPV bergerak menggunakan bas seperti di Pagoh. Ini membuktikan kerajaan sedaya upaya memastikan akses bekalan vaksin ini sampai kepada setiap peringkat masyarakat di bandar, luar bandar dan pinggiran bandar," katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir turut mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Serbaguna Pagoh, di sini dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar penerima vaksin.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!