X

Kindly register in order to view this article
!

Timbalan Menteri buat majlis sambutan Hari Bapa disiasat

Gambar Ismail mengadakan majlis sambutan Hari Bapa yang ditular di laman sosial pada Isnin.
A
A

KUANTAN - Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran menjalankan siasatan berhubung dakwaan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepertimana gambar yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, siasatan lanjut dijalankan PKD Maran berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang sebaik gambar Ahli Parlimen Maran yang dipercayai menyambut Hari Bapa di kediamannya di sini.

"Gambar tersebut diambil oleh jurufoto kementerian beliau (Ismail) dan telah menghantarnya menerusi grup WhatsApp hanya untuk simpanan mereka.

"Mereka yang hadir pada majlis itu ialah kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Pejabat Parlimen Maran bagi tujuan bagi penyediaan bungkusan barangan sumbangan bantuan mangsa Covid-19 dalam Parlimen Maran, selain perbincangan mengenai perancangan menggalakkan pendaftaran vaksin bagi kalangan masyarakat orang asli di bawah Parlimen Maran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, tular di media sosial gambar Ismail bersama sembilan individu dipercayai mengadakan jamuan meraikan Hari Bapa di kediaman pemimpin UMNO itu.

Gambar tersebut dimuat naik seorang pengguna Facebook bersama keterangan ‘Majlis Sambutan Hari Bapa di kediaman YBTM KPKT’ dengan bertandakan lokasi di Sungai Ling, Maran.

Netizen memberikan pelbagai reaksi termasuk mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Maran itu yang didakwa mengadakan jamuan dengan melibatkan aktiviti kunjung-mengunjung ketika negara sedang bergelut menangani penularan Covid-19.

Bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada sembilan individu dalam gambar tersebut merupakan ahli keluarga Timbalan Menteri berkenaan serta tarikh jamuan tersebut berlangsung.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Abd Hadi yang berkongsi skrin layar gambar terbabit di Twitter beliau pada Isnin turut meluahkan rasa kecewa.

“Semalam (Ahad) katanya sambutan Hari Bapa di rumah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Rakyat disuruh duduk rumah. Memang menteri kita ini tak ada yang bijak,” ciapnya di Twitter.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!