X

Kindly register in order to view this article
!

Kejayaan berganda Sara Sofea

Sara Sofea menerima insentif RM2,000 daripada Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) kerana kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini.
A
A

KUALA LUMPUR – Penglibatan dalam aktiviti sukan lasak mendaki gunung tidak menghalang seorang pelajar, Sara Sofea Muhammah Illaham, 18, mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor itu sebelum ini mencatat kejayaan mendaki ke puncak gunung tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus di Rusia, setinggi 5,642 meter.

Kejayaan itu diciptanya pada tanggal 15 Ogos 2019 di bawah Program Pendakian Belia Merdeka 2020 anjuran Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA).

Atas kecemerlangan akademik dan ko-kurikulumnya itu, KJA telah menyampaikan sumbangan RM2,000 sebagai insentif dan penghargaan kepada Sara Sofea baru-baru ini.

Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan secara dalam talian oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz yang juga penggiat sukan mendaki gunung.

Menurut Sara Sofea, dia bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran dan akan meneruskan minatnya dalam sukan mendaki gunung.

“Alhamdulillah, syukur kehadrat ALLAH kerana saya berjaya mencapai sasaran saya untuk mendapat keputusan 9A dalam SPM baru-baru ini.

"Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa di belakang saya memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sara Sofea berkata, dia juga bertuah kerana ayahnya banyak membimbing dalam sukan mendaki gunung.

"Pengalaman ayah sebagai pendaki Everest amat membantu dalam semua pendakian saya sebelum ini.

"Minat dalam sukan mendaki ini akan diteruskan dan saya merancang untuk pendakian ke gunung yang lebih tinggi pula selepas ini seperti Gunung Aconcagua, Argentina, yang tertinggi di Amerika Selatan dan Gunung Vinson Massif yang tertinggi di benua Antartika,” katanya.

Tambah beliau, sukan mendaki gunung yang diceburinya telah banyak memberi inspirasi kepada dirinya untuk berjaya di dalam akademik.

Ini kerana menurutnya, kepayahan dan keperitan ketika mendaki gunung telah mengajarnya erti semangat perjuangan dan tidak putus asa dalam apa sahaja yang dilakukan.

“Situasi ketika mendaki gunung yang mencabar itu telah mengajar saya supaya kuat dari segi mental dan fizikal.

"Semangat itulah yang telah saya gunakan dalam bidang akademik sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini,” katanya.

Bagi Sara Sofea, pembabitan dalam sukan ekstrim mendaki gunung itu tidak sesekali menjejaskan tumpuannya dalam pelajaran.

Beliau turut berterima kasih kepada bekas pengetua sekolahnya, Mohd Shahadan Abdul Rahman yang menyokong pembabitannya dalam sukan mendaki gunung dengan membenarkannya mengambil cuti tambahan ketika melaksanakan pendakian di Gunung Elbrus itu.

Selain itu, Sara Sofea turut menzahirkan penghargaan kepada Bahagian Sukan, Kokurikulum & Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kerjasama dalam menjayakan pendakian ke puncak tertinggi benua Eropah itu.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Pengarah BSKK, Zainal Abas, bekas pengetua saya, Cikgu Mohd Shahadan dan guru-guru yang mengajar sembilan mata pelajaran di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, atas kejayaan ini.

"Tanpa cikgu semua, tak mungkin saya mampu mencapai impian saya ini. Terima kasih semua,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden KJA, Zainuddin Lot berkata, pihaknya akan berusaha mencari penaja bagi menyokong impian Sara Sofea untuk menawan dua puncak tertinggi di benua Amerika Selatan dan Antartika itu.

"Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi tampil sebagai penaja kepada ekspedisi tersebut dan berharap Sara Sofea akan membawa nama negara sebagai pendaki wanita termuda Malaysia yang berjaya menawan puncak Aconcagua dan Vinson Massif," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!