X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga peniaga anjur taruhan Piala Euro 2020 ditahan

Peralatan yang dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian Piala Euro 2020 dalam serbuan di Melaka pada Jumaat.
A
A

MELAKA - Tiga peniaga yang menawarkan wang taruhan judi perlawanan bola sepak Piala Euro 2020 hingga mencecah lebih RM20,000 setiap satu perlawanan, diberkas polis dalam serbuan berasingan di daerah Melaka Tengah di sini sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketiga-tiga individu berusia 33 hingga 47 tahun dipercayai penganjur persendirian itu ditahan dalam Ops Soga yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Beliau berkata, ketika serbuan pertama kira-kira jam 9.10 malam Jumaat, seorang suspek berusia 33 tahun ditahan di Taman Sutera Batu Berendam.

Susulan itu, katanya, dua lelaki masing-masing berusia 46 dan 47 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Kampung Lapan dan rumah kedai di Jalan Tun Dr Lanang iaitu sehari selepas tangkapan pertama.

Menurutnya, mereka dipercayai menawarkan wang taruhan minima RM50 dan boleh mencecah sehingga RM2,000 bagi setiap perlawanan bola sepak kepada pemain judi bermula sejak 11 Jun lalu.

"Siasatan awal juga mendapati mereka menjalankan aktiviti itu berpandukan jadual perlawanan dengan menggunakan telefon pintar dan komputer sebagai medium perjudian," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemain membuat transaksi wang secara dalam talian.

Katanya, polis merampas beberapa peralatan yang digunakan termasuk modem jaringan jalur lebar.

"Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953," katanya.

Tambah beliau, orang ramai diingatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti perjudian tersebut terutama ketika musim Piala Euro 2020 yang sedang berlangsung.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!