Penyu karah bunting ditemui mati dipercayai terbelit rawai

Penyu karah bunting yang ditemui mati di pesisiran Pantai Tanjung Bidara, Alor Gajah pada Ahad.
Penyu karah bunting yang ditemui mati di pesisiran Pantai Tanjung Bidara, Alor Gajah pada Ahad.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seekor penyu karah bunting ditemui mati dengan kesan luka pada leher dipercayai terbelit rawai nelayan di pesisiran Pantai Tanjung Bidara di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Ahad itu, penyu seberat 40 kilogram berkenaan tidak sempat mendarat untuk bertelur di pantai terbabit.

Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Solehon berkata, sepasukan pegawai tiba di lokasi kejadian selepas menerima aduan orang ramai.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati penyu berkenaan dipercayai mati di laut akibat terkena rawai.

"Penyu itu sebelum ini pernah bertelur di pantai Melaka berdasarkan 'tag' yang ditandakan pada badan haiwan berkenaan. Disebabkan terkena rawai ini, penyu itu tidak dapat mendarat untuk bertelur di pantai negeri ini sekali lagi.

"Lebih menyedihkan, ini adalah kes kesembilan penyu ditemui mati di persisiran pantai di negeri ini dipercayai terkena peralatan nelayan yang dilarang seperti rawai, tagan atau pekap sepanjang tahun ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Fauzi sehubungan itu berkata, tindakan akan diambil mengikut Akta Perikanan 1985 sekiranya masih terdapat nelayan menggunakan peralatan yang dilarang ketika menangkap ikan.

"Apabila nelayan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan, ia boleh menyebabkan penyu tersangkut dan termakan mata kail," katanya.

Artikel Berkaitan: