Tidak sempat seludup 18 tong petrol ke negara jiran

Gambar kiri: Sebanyak 18 tong yang dijumpai di tempat duduk penumpang belakang. Anggota penguat kuasa memeriksa Proton Saga yang membawa tong-tong berisi minyak petrol di tepi Sungai Golok pada Sabtu.
Gambar kiri: Sebanyak 18 tong yang dijumpai di tempat duduk penumpang belakang. Anggota penguat kuasa memeriksa Proton Saga yang membawa tong-tong berisi minyak petrol di tepi Sungai Golok pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Sebanyak 18 tong berisi petrol ditemui dalam sebuah kereta di tepi Sungai Golok dekat pangkalan haram Dock di sini pada Sabtu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Ketua Pegawai Peguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, tong berkenaan ditemui pada jam 11 malam ketika serbuan menerusi operasi bersepadu bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Beliau berkata, ketika rondaan dijalankan, anggota penguat kuasa mendapat maklumat berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan pangkalan haram terbabit.

”Anggota penguat kuasa mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan berada di tebing Sungai Golok itu.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, pemandu kereta tersebut melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat barang kawalan iaitu petrol yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran, Thailand.

“Tong-tong plastik berisi petrol itu berada dalam Proton Saga yang bernombor pendaftaran Malaysia.

“Terdapat sebanyak 18 tong dianggarkan mengandungi 450 liter petrol bernilai RM 922.50 di tempat duduk penumpang yang diubah suai bagi membolehkan lebih banyak muatan dibawa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kesemua barangan termasuk kereta bernilai RM5,000 disita untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.