Ajal dalam kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Seorang lelaki meninggal dunia sewaktu sedang memandu kereta dalam perjalanan mengambil sumbangan Baitulmal di hadapan Masjid Jamek Gerik, di sini petang semalam.

Mangsa, Zainalabidin Ahmad,53, dari Kampung Air Pari Lawin di sini, disahkan meninggal dunia di dalam kereta jenis Honda dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu bahagian hadapan keretanya setelah dipercayai serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, dalam kejadian jam 4.48 petang, pihaknya menerima panggilan awam terdapat seorang lelaki meninggal dunia di dalam sebuah kereta di hadapan Masjid Jamek Gerik, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kereta tersebut berada di tengah jalan dengan seorang lelaki terbaring di tempat duduk pemandu bahagian hadapan kereta.

"Berdasarkan maklumat orang awam, mangsa telah diperiksa oleh pegawai perubatan Hospital Gerik dan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal terhadap isteri mangsa yang turut bersama mangsa sewaktu kejadian memaklumkan mereka dalam perjalanan mengambil sumbangan beras daripada Baitulmal di Masjid Jamek Gerik,"katanya.

Ismail berkata, isteri mangsa turut memberitahu mangsa tiba-tiba memberhentikan kenderaan dipandu dan terus terdiam sewaktu kejadian berlaku.

Menurutnya, isteri mangsa kemudiannya mendapati badan mangsa sejuk, tiada denyutan nadi dan jantung terhenti.

Artikel Berkaitan:

"Pihak petugas perubatan Hospital Gerik kemudiannya datang membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.

"Laporan bedah siasat kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan pada mangsa,"katanya.