X

Kindly register in order to view this article
!

Lima Pasar Segar Terkawal catat RM408,120 sepanjang PKP

Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Faris Abdullah (kiri) memilih buah nangka J33 yang terdapat di PST Pejabat FAMA Pahang. - Foto ihsan FAMA Pahang
A
A

KUANTAN - Lima Pasar Segar Terkawal (PST) di Pahang mencatatkan jualan lebih RM408,120 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

PST di negeri ini membabitkan PST Pejabat FAMA Pahang di Batu Lima, PST Jerantut, PST Pekan dan PST Chini manakala PST Bera pula hanya dikhususkan untuk jualan secara borong.

Program jualan bermula sejak 1 Jun lalu menggunakan sistem pandu lalu dan menawarkan harga lima hingga 20 peratus lebih murah pelbagai hasil pertanian, ternakan serta ikan air tawar.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Noh Nik Wan berkata, PST Jerantut meraih jualan tertinggi dengan jumlah sebanyak RM145,390 diikuti PST Pejabat FAMA Pahang (RM127,340), PST Chini (RM60,410), PST Bera (RM42,180) dan PST Pekan (RM32,800).

“Seramai 115 peniaga berniaga di semua PST di negeri ini, mereka menjual pelbagai barangan segar seperti sayuran, buah-buahan, daging segar dan ikan. Turut dipasarkan pelbagai barangan dapur dan makanan segera produk keluaran Agromas yang mendapat permintaan menggalakkan.

“Agensi lain turut terbabit memasarkan produk keluaran mereka di PST Pejabat FAMA Pahang ialah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjual pelbagai ikan laut dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuantan menjual beras,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan secara pandu lalu di PST Pejabat FAMA Pahang.
Orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan secara pandu lalu di PST Pejabat FAMA Pahang.

Beliau berkata, pihaknya memasarkan pelbagai produk segar tempatan seperti nangka J33, nanas madu, pisang, jagung madu dan labu manis pada harga lebih murah berbanding pasar raya.

Jelasnya, aktiviti program jualan PST akan berakhir pada 28 Jun ini dan sekiranya ada permintaan aktiviti berkenaan akan diteruskan.

“Jualan bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari menggunakan sistem pandu lalu. Pengguna tidak perlu turun daripada kenderaan untuk memilih barangan yang diinginkan.

“Semua dibantu oleh kakitangan FAMA yang bertugas, mudah serta cepat dan lebih penting barangan segar serta harga murah,” katanya.

Selain itu, Noh memaklumkan berdasarkan merekodkan seramai 2,400 pengguna telah berkunjung ke PST bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan sejak aktiviti penjualan itu dibuka.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!